Majlis peringati 13 Mei: Pas kritik, dakwa cubaan suburkan ideologi salah

Majlis peringati 13 Mei: Pas kritik, dakwa cubaan suburkan ideologi salah

TRAGEDI rusuhan kaum 13 Mei 1969 sepatutnya menginsafkan serta memberi pengajaran tentang betapa pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Ulama Pas mengkritik majlis memperingati tragedi rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 di suatu tapak perkuburan di Lembah Klang, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, majlis tersebut seperti cubaan menyuburkan ideologi pluralisme agama selain cenderung kepada naratif songsang terhadap tragedi berkenaan.

“Ironinya apakah ahli agama dalam kalangan pemerintah hari ini tidak mahu memberikan teguran terhadap kebejatan yang berlaku saban masa?

“Satu demi satu kerosakan mula dinormalisasikan tanpa ada tangan yang mencegahnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan penganjuran majlis yang berlangsung di tapak perkuburan khas di Sungai Buloh bagi memperingati ulang tahun ke-55 rusuhan kaum yang pernah terjadi.

Bagaimanapun, tular gambar orang Islam berdoa di ‘kubur Cina’ di majlis tersebut sehingga membangkitkan persoalan daripada pelbagai pihak.

Namun, penganjur  menegaskan tanah perkuburan tersebut bukan ‘kubur Cina’ sebaliknya tempat persemedian seluruh mangsa tragedi 13 Mei termasuk dalam kalangan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, agenda bacaan doa semua agama dalam majlis tersebut adalah sisi yang memperlihat cubaan piahk tertentu mencucuk jarum pluralisme agama ke dalam masyarakat.

Katanya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan harus ditegur supaya tidak terus berulang.

“Bahkan  majlis sedemikian juga seolah-olah berselindung di sebalik usaha untuk mengalihkan perhatian terhadap naratif sebenar yang seharusnya difahami dengan tragedi rusuhan 13 Mei 1969.

“Apakah kelak naratif songsang terhadap kejadian 13 Mei juga akan diangkat dan dipaksa penerimaannya dalam masyarakat?” soalnya..

Beliau berkata, Dewan Ulama Pas kesal terhadap insiden-insiden yang didakwanya songsang dan dinormalisasikan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Ia tidak lain memberikan gambaran bahawa perjuangan umat Islam dan Melayu sangat lemah dan tidak bermaya bersama Pakatan Harapan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN