“KATA ibu, sejak kecil saya obses dengan muzik. Umur enam tahun, kalau ke tandas pun saya bawa gitar,” – Aziz Harun membuka kenangan.
Sesekali meneguk air, membasah tekak kerana temu ramah di petang yang bahang gara-gara El Nino itu. Penyanyi asal Brunei ini tetap tersenyum manis, menyambung cerita bagaimana muzik telah memilihnya sejak muda.
“Ibu antara individu awal yang perasan saya mencintai muzik. Tapi saya tidak gemar bernyanyi.
“Kalau belikan mainan, dia akan cari apa sahaja berunsur alatan muzik tak kiralah instrumen yang dipukul macam gendang, piano atau bertali seperti gitar,” katanya yang kini menjadi bahan bualan selepas lagu Ketipak Ketipung Raya bersama Aisha Retno tular.
Anak bongsu daripada enam beradik itu memasuki pertandingan nyanyian pertamanya di televisyen pada umur 11 tahun menerusi program Bintang Kecil. Walaupun tidak berjaya merangkul sebarang tempat, namun wang saguhati yang diterima digunakan untuk membeli gitar pertamanya.
“Gitar itu jenama Fender. Apabila difikir-fikir, saya main gitar sampai berjam-jam. Siang malam berlatih petik semua kod lagu kesukaan saya. Gitar itu diibaratkan sebagai kawan karib,” katanya.
Kemunculan Aziz Harun dalam industri hiburan tempatan bukan baharu. Sudah 10 tahun anak didik kepada penyanyi, Faizal Tahir itu mempertaruhkan bakatnya.
Pada usia 16 tahun, lagu debutnya, Senyum yang dihasilkannya sendiri bersama Faizal dan Mike Chan berjaya menjadi hit. Dia yang masih remaja kemudian berhijrah ke Malaysia sendirian dan mempersembahkan magisnya menerusi lagu Jangan dan Jauh yang rata-ratanya mengumpul hampir sembilan juta pendengar.

PESTA KUTUK AZIZ HARUN BESAR-BESARAN
Ketika diminta bercerita pengalaman yang paling mematangkannya sebagai penghibur, Aziz menarik nafas dalam sebelum membawa alur perbincangan kepada program pertandingan Big Stage pada 2019.
Reputasinya pernah tercalar apabila menjadi antara peserta dengan prestasi tercorot beberapa minggu sebelum mengumumkan menarik diri untuk menyambung pelajaran di United Kingdom.
“Saya dapat banyak sokongan dan kebencian pada masa sama. Kejadian itu sedikit sebanyak memberi impak kepada keyakinan saya sebagai seorang penyanyi. Ketika itu pula saya kena bernyanyi tanpa gitar, jadi, saya agak kaku.
“Komen yang paling menghiris mungkin datang daripada seorang figura yang pada ketika itu memuat naik di media sosial ayat ‘mesti rasa nak masuk tandas setiap kali dengar Aziz ini nyanyi’.
“Setiap minggu saya dikutuk. Akhirnya, ketika di episod terakhir saya di pertandingan, figura itu kemudian membuat hantaran di Instagram memohon maaf secara terbuka kepada saya siap dengan gambar. Saya rasa momen itu lucu jika dikenang.
“Saya faham sahaja komen itu bersifat terbuka cuma saya tak suka keadaan di mana lebih ramai orang yang sertai energi tidak baik yang dimulakan figura itu. Apa lagi, dia seorang yang dikenali,” katanya yang sangat menggemari penyanyi Drake, Joe Flizzow dan ALYPH.
Jejaka berusia 26 tahun ini bagaimanapun tidak pernah menyimpan dendam. Sebaliknya merasakan ia tetap perjalanan yang indah mewarnai kehidupannya sebagai artis. Bahkan, jika diberi kesempatan untuk menghabiskan pertandingan ketika itu, dia akan berjuang habis-habisan walaupun lunyai dikecam.

BOLEHKAH DIA TERIMA JIKA SAYA BUKAN PENYANYI?
Tiada siapa boleh menyangkal betapa gilanya sokongan yang diberikan para peminat Aziz Harun. Lihat sahajalah bagaimana gambar ukuran pasport milik penyanyi itu dilekatkan di belakang telefon bimbit peminat sehingga tular.
Penyanyi yang mengakui masih solo itu bagaimanapun ketawa ketika ditanya adakah hatinya terbuka andai suatu hari nanti bertemu jodoh dengan peminat.
“Sebagai pemuzik, tiada kepuasan lebih besar selain menerima komen daripada peminat mengatakan lagu saya telah menyelamatkan mereka. Mungkin kerana lagu yang saya tulis memang datang daripada hati.
“Oleh itu, saya memang rajin balas semua komen peminat. Mereka faham akan batas seorang peminat dan artis. Saya tidak bercinta dengan peminat bahkan bekas kekasih saya sebelum ini pun bukan dalam kalangan peminat.
“Setakat ini tiada peminat yang pernah meluahkan perasaan mahu hubungan romantis. Saya fikir itu lebih baik kerana kasihan mereka. Saya takut dia terkejut sekiranya tahu siapa Aziz Harun yang sebenar, bukannya Aziz yang dia biasa lihat di atas pentas. Saya bukan sesiapa, hanya seorang penyanyi,” katanya.
Menafikan memiliki hubungan istimewa dengan rakan duet, Aisha Retno, Aziz bagaimanapun mengimpikan gadis yang faham kariernya, ceria, kelakar dan serius pada masa sama.
Bercakap mengenai perancangan untuk tahun 2024, Aziz berjanji akan memberikan kelainan dalam album mini yang bakal dihasilkannya tidak lama lagi dan sebuah persembahan khas buat peminat.
“Saya akan tampil dengan album mini tahun ini memuatkan enam lagu. Semestinya ada lagu galau sebab julukan itu sudah lekat dengan diri saya. Tak tahulah kenapa saya selalu hasilkan lagu sedih. Mungkin sebab saya sunyi. Maklumlah berjauhan dengan keluarga.
“Apapun, saya mohon tolong doakan perjalanan seni saya tahun ini dan terima kasih menyokong selama ini,” katanya menutup perbualan.










