KEMAMAN: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Chabang, Kerteh, dekat sini, sejak Sabtu lalu, ditemukan dalam keadaan selamat, semalam.
Mangsa, Masrul Fadilah Mohd Ghani, 49, ditemukan dalam keadaan keletihan dan kelaparan berhampiran kawasan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung
kira-kira pukul 7 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dipercayai mempunyai masalah mental dilihat berjalan kaki selepas meninggalkan motosikalnya di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Kerteh, dekat sini, pada petang Sabtu.
“Penduduk kampung mendakwa mangsa dilihat menanggalkan baju dan seliparnya sebelum berjalan kaki sejauh tiga kilometer melalui Kampung Chabang dan memasuki hutan berhampiran.
“Alhamdulillah, selepas dua hari operasi mencari mangsa dilakukan pasukan penyelamat termasuk bomba dan polis serta penduduk kampung, kita berjaya menemui mangsa berhampiran kawasan pembinaan ECRL,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini
Khairulhasni berkata, mangsa yang berada dalam keletihan kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk dirawat. – UTUSAN










