Lelaki AS miliki bahan pornografi kanak-kanak dipenjara tiga bulan, denda RM22,000 - Utusan Malaysia

Lelaki AS miliki bahan pornografi kanak-kanak dipenjara tiga bulan, denda RM22,000

DAVID Matthew Frahm dipenjara tiga bulan dan denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak serta video lucah di Mahkamah Sesyen Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat dipenjara tiga bulan dan denda RM12,000 di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak serta video lucah, Februari lalu.

Tertuduh, David Matthew Frahm, 46, dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 bagi kesalahan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, manakala kesalahan memiliki video lucah pula denda RM2,000.

David yang merupakan guru di sebuah sekolah antarabangsa di sini turut didenda RM10,000 atas pertuduhan tinggal lebih masa dengan berada di negara ini selama 1,380 hari.

Hakim Helmi Ghani menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Helmi memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan dari tarikh tertuduh direman selain merujuk Jabatan Imigresen (JIM) untuk urusan penghantaran pulang ke negara asal.

Mengikut pertuduhan, David didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak serta video lucah di sebuah rumah di Jalan Sri Legenda, Kuah di sini kira-kira pukul 7.10 malam, 15 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Sementara bagi kesalahan tinggal lebih masa, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farhan Aliff Ahmad ketika prosiding memohon hukuman setimpal dijatuhkan kepada tertuduh bagi menjaga kepentingan awam serta melindungi kanak-kanak daripada perbuatan yang dianggap sebagai ‘heinous’ atau keji.

Bagaimanapun, peguam, Cheow Wee memohon hukuman tanpa penjara kerana tertuduh tidak mempunyai rekod lampau dan telah menyesali perbuatannya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×