Lebih RM2 billion diselamatkan SPRM hasil jenayah bitcoin

Lebih RM2 billion diselamatkan SPRM hasil jenayah bitcoin

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih RM2 billion berjaya diselamatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi khas Op Power melibatkan kecurian arus elektrik hasil daripada perlombongan bitcoin bagi tempoh dua tahun lalu.

Malah kejayaan hasil kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sekali gus mengelakkan kerugian lebih besar dan meminimumkan jenayah perlombongan bitcoin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, agensi seperti TNB mempunyai limitasi kuasa untuk mencegah jenayah sedemikian  dan memerlukan penguatkuasa seperti SPRM untuk membantu.

“Jenayah perlombongan bitcoin yang berleluasa sekitar dua tahun dapat ditumpaskan apabila TNB sendiri menyalurkan maklumat kepada kita.

“Ini kerana, agensi-agensi seperti TNB mempunyai kekangan kuasa dan SPRM membantu dalam menguatkuasakan undang-undang, perampasan serta pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Beliau berkata, agensi besar tidak boleh bertindak secara bersendirian apabila membabitkan kerugiaan yang bernilai tinggi.

“Yang akhirnya akan merugikan kerajaan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat negara.

“Perlu ada tindakan bersama, contohnya kerjasama antara SPRM dan TNB ketika itu dinilaikan sejumlah RM2 bilion dan saya percaya kita sudah menyelamatkan hasil TNB sebanyak RM2 bilion.

“Tindakan dan kerjasama ini juga bukan sekadar bersama TNB tetapi SPRM juga bekerjasama sedemikian dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Imigresen,” jelasnya.

Untuk rekod, menerusi Op Power SPRM mengesan ada suspek menawarkan wang rasuah antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pekerja TNB dengan balasan supaya tidak diambil sebarang tindakan dan membocorkan maklumat operasi TNB.

Sepanjang tempoh itu, SPRM berjaya  merampas RM2.37 juta membabitkan 998 premis bitcoin membekukan aset berjumlah RM4.47 juta milik 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun bank serta menyita 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.34 juta.

Lima buah kereta mewah jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi juga dirampas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN