BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya merampas lebih 56,000 liter diesel bersubsidi dalam dua serbuan berbeza di Butterworth dan Tasek Gelugor, bermula kelmarin.
Serbuan pertama sempena Ops Tiris 3.0 itu dilakukan di sebuah stor di Jalan Bagan Lalang, Butterworth kira-kira pukul 5.30 petang.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas sebanyak 54,564 liter diesel bersubsidi berjumlah RM117,312 selain beberapa peralatan berkaitan yang bernilai RM2,100.
“Pemeriksaan (di stor berkenaan) kemudian menjumpai empat buah skid tank, 15 buah tangki plastik (IBC) dan lima buah motor pam beserta hos di situ,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Jegan, ketika kejadian, tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan semasa serbuan dilakukan, tiada sesiapa berada di situ.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan usaha mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut juga sedang giat dijalankan ketika ini,” kata beliau.
Dalam pada itu, Jegan memberitahu, serbuan kedua yang dilakukan di Tasek Gelugor semalam pula melibatkan rampasan sebanyak 1,800 liter diesel bersubsidi yang cuba diseleweng.
Katanya, kejadian berlaku apabila pihaknya berjaya mengesan sebuah lori kanvas sedang melakukan pengisian minyak diesel bersubsidi di stesen minyak yang kelihatan mencurigakan. – UTUSAN










