PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menawarkan peluang kepada belia Palestin melanjutkan pelajaran di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya juga bersedia menawarkan pembiayaan pengajian kepada sekurang-kurangya tiga pelajar Palestin.
Menurut beliau, tawaran itu dikemukakan ketika mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Koperasi Palestin semasa mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik baru-baru ini.
“Ini sedang disusuli perbincangan oleh duta besar kita di Jordan dengan Kementerian Koperasi di Palestin. Apabila mereka bersedia untuk menghantar, maka kita akan membuat pemakluman.
“Pada ketika ini, itu adalah satu bentuk kerjasama yang kita tawarkan, tetapi Menteri Koperasi Palestin telah menyatakan minat yang begitu besar untuk belajar daripada Malaysia dalam membangunkan gerakan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian dan agensinya di sini hari ini.
Ewon berkata, perkara itu juga telah dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian kelmarin dan beliau berharap ia merupakan satu bentuk sokongan kepada masyarakat Palestin untuk terus membangunkan wilayah mereka dalam gerakan koperasi.
“Saya percaya atas semangat kenegaraan ini kita perlu memberi ruang kepada belia-belia di Palestin untuk belajar di universiti koperasi ini mengambil kira apa yang berlaku.
“Kita harap dapat menjadi sebahagian proses pemulihan atau pembangunan semula wilayah Palestin melalui perkongsian maklumat dan pengajian di universiti koperasi,” katanya. – UTUSAN










