KANGAR: Kementerian Pendidikan memberi tumpuan terhadap kompetensi dan latihan buat guru-guru di negara ini bagi mendidik murid-murid khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).
Bagi tujuan itu, sekolah-sekolah di kawasan luar bandar juga tidak akan ketinggalan menjadi sebahagian daripada komuniti digital untuk meningkatkan keupayaan murid dalam bidang berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, murid-murid sekolah perlu terus dibimbing dalam bidang AI berikutan mereka mempunyai keupayaan cukup tinggi berdasarkan kepada input dan inovasi yang dihasilkan.
“Disebabkan itu, dalam aspirasi kita, guru-guru mesti kompeten dan kita berikan tumpuan kepada kompetensi serta latihan buat golongan pendidik untuk memandu anak-anak murid dalam AI,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah, di sini hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan dan langkah kementerian buat sekolah-sekolah susulan daripada perkembangan AI yang semakin pesat pada masa kini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, selain memperkasakan AI di sekolah, kementerian juga telah mengupayakan Pusat Kegiatan Guru dan Pelantar Pendidikan Digital (DELIMa) yang seharusnya digunakan sepenuhnya oleh murid serta guru.
“Jadi Pelantar DELIMa ini sewajarnya menjadi medium utama untuk meningkatkan keupayaan digital dan inovasi mereka,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatannya ke Perlis, Fadhlina berkata, segala perancangan yang diatur dalam lawatan kerjanya itu telah berjalan dengan baik khususnya melibatkan beberapa program yang turut disertai pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail.
Katanya, sepanjang dua hari ini, kementeriannya juga telah memberikan tumpuan kepada beberapa agenda penting termasuk pendidikan khas.
“Secara keseluruhannya, lawatan kerja saya ke Perlis sangat membanggakan apatah lagi negeri ini merupakan antara negeri tertinggi mencapai kedudukan 60 peratus dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara,” katanya.-UTUSAN










