KUALA KANGSAR: Kementerian Pendidikan (KPM) terus gigih menjalankan usaha bagi memerangi masalah gangguan seksual melibatkan warga pendidikan terutama murid.
Antara langkah tersebut ialah kerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan, menambah nilai pengurusan anti-gangguan seksual di pusat pendidikan, selain penekanan garis panduan serta tindakan yang perlu diambil oleh para guru dalam memantau dan mengesan masalah berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau mengambil serius tentang pendedahan polis bahawa kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur khususnya murid sekolah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tegas menteri, komitmen kementeriannya itu adalah untuk memastikan kanak-kanak percaya bahawa mereka sentiasa dilindungi dan mempunyai tempat selamat membuat aduan.
“Kita ambil serius tentang makluman itu. KPM lebih awal telah ambil langkah-langkah pencegahan merentasi pelbagai kementerian,” katanya kepada pemberita dalam Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dalam forum Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2024 (IRC) menzahirkan kebimbangan dengan kemudahan akses kanak-kanak kepada media sosial dan pornografi sehingga menjadi ‘barah’ masyarakat hari ini.
Ujarnya, kes rogol tidak dinafikan meningkat secara amnya, namun kes membabitkan remaja bawah umur juga menunjukkan pelonjakan setiap tahun.
Beliau dilaporkan juga menceritakan bagaimana seorang kanak-kanak perempuan bersetuju menawarkan seks sebagai cara pampasan kepada kawan-kawan lelaki sebayanya gara-gara tidak cukup duit untuk menggantikan pemadam rakannya.
Fadhlina juga berkata, KPM memandang serius perkara itu serta tidak akan berkompromi terhadap setiap kes yang berlaku dan dilaporkan membabitkan murid sekolah.
“Saya sudah sebut sebelum ini jika berlaku di dalam sekolah, ‘you touch you go’. Itu memang pendekatan dan penegasan yang telah kita berikan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN











