PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia mendedahkan segala data kes yang ada kaitan disebabkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad malah berkata, pihaknya tidak pun berhasrat menyorok apa sahaja angka mengenai isu Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI).
“Saya sendiri pernah sebut perkara ini dalam mesyuarat pasca-Kabinet dan mahu data berhubung isu vaksinasi itu didedahkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman acara Malaysia International Healthcare Megatrends 2024 antara pihak KKM dan KPJ Healthcare Berhad, di sini hari ini.
Isu AEFI kembali panas di seluruh dunia selepas tular dokumen mahkamah di Britain yang mendedahkan ada pampasan setengah bilion ringgit melibatkan firma AstraZeneca (AZ) disebabkan sejumlah 51 tuntutan ganti rugi individu yang disuntik vaksin tersebut dan menyebabkan berlaku sindrom Thrombosis Thrombocytopenia atau pembekuan darah.
Firma farmaseutikal ternama Sweden dan Britain itu telah menghasilkan vaksin Covid-19 berjenama Covishield dan Vaxzevria dengan kerjasama Universiti Oxford pada 2020 lalu.
Pada 2 Mei lepas, Dzulkefly dilaporkan meminta pengeluarnya itu memberikan penjelasan rapi berhubung AEFI tersebut bukan sahaja kepada rakyat Malaysia malah seluruh dunia.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa KKM memang ada menyimpan rekod daftar kesan sampingan imunisasi sebagai garis panduan klinikal dan rujukan pada masa depan.
“Insya-Allah, saya memberikan jaminan tiada apa yang akan disembunyi malah kita telus dan bertanggungjawab namun beri KKM masa sebelum dapat dikongsikan,” jelasnya lagi.
Walau bagaimanapun, beliau mengulangi kejayaan PICK dalam mengekang penularan wabak maut berkenaan yang dilancarkan oleh pihak kerajaan pada 24 Februari 2021 lalu.
Bahkan beliau memaklumkan bahawa data diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sendiri menunjukkan inisiatif vaksinasi besar-besaran itu menyelamatkan jutaan nyawa.
Justeru Dzulkefly menambah, data kes AEFI yang bakal didedahkan kepada umum itu turut melibatkan kesemua jenama vaksin digunakan dan perbandingan secara keseluruhan.
Dianggarkan lebih tiga juta atau 10 peratus rakyat Malaysia menerima dos daripada firma AZ manakala sebahagian besar lagi melibatkan syarikat Pfizer-BioNTech dan CoronaVac.
Berdasarkan rekod terkini, lebih 25 juta penduduk negara ini sudah pun lengkap dua dos imunisasi tersebut namun ada kira-kira 7.3 juta pula yang langsung tidak pernah divaksin. – UTUSAN










