Selebriti perlu jaga imej badan beruniform menerusi karya

Selebriti perlu jaga imej badan beruniform menerusi karya

Eizlan Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof berpendapat setiap selebriti, terutama­nya yang kerap membintangi karya melibatkan unit beruniform menunjukkan moral dan teladan yang baik terhadap masyarakat.

Kata Eizlan, 52, imej unit beruniform yang dipamerkan dalam sesebuah naskhah tidak sekadar terhenti ketika penggambaran, malah akan menjadi sebutan masyarakat sekiranya watak yang dijayakan diterima baik oleh penonton.

“Apabila kita membawakan watak anggota beruniform, kita akan terikat dengan imej tersebut untuk tempoh yang sangat lama. Jadi, tanggungjawab kita bukan hanya ketika menjalani penggambaran.

“Sebenarnya tanggungjawab itu akan terus dibawa untuk tempoh yang sangat panjang. Itulah tugas seorang selebriti. Ia tidak berakhir pada hari terakhir penggambaran.

“Sebagai selebriti, kita juga diwajibkan menjaga nama baik agensi atau organisasi beruniform yang kita wakili menerusi karya,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Eizlan turut meluahkan rasa ralat apabila individu yang sepatutnya menjadi ikon kepada masyarakat menerusi karya yang bermutu terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah, sekali gus memberikan impak negatif terhadap industri seni tanah air.

“Bagi saya, perkara ini bukan hanya terikat kepada golongan selebriti sahaja, tetapi melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Kalau kita lihat, penyalahgunaan dadah merupakan satu isu yang sangat serius di negara kita. Malah, jika melibatkan pengedaran dadah, hukuman­nya bo­leh sampai ke tali gantung.

“Sebagai seorang pelakon atau selebriti, kita mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Kita bukan sahaja perlu menjaga nama baik diri sendiri, malah diwajibkan menjaga reputasi kerana selebriti sering dijadikan ikon atau contoh kepada masyarakat.

Tambah Eizlan, kejadian sedemikian juga memberi implikasi buruk serta tanggapan negatif terhadap warga industri seni tanah air.

“Apabila perkara sebegini berlaku, saya rasa sedih. Kalau kita mahu berhibur sekalipun, tetap ada batasnya. Kita tidak boleh melampaui batas yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Pun begitu, pelakon filem Paskal itu berharap isu sosial membabitkan golongan selebriti dapat dibanteras, malah menjadikan isu pelakon yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sebelum ini sebagai pengajaran.

“Apabila bergelar selebriti, banyak perkara yang perlu kita ambil berat. Bukan sekadar menjaga nama baik diri sendiri, tetapi juga nama baik keluarga dan industri seni itu sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN