LANGKAWI: Sebuah kilang memproses padi berharga kira-kira RM8.9 juta bakal dibina di Pulau Langkawi bagi menjamin kualiti hasil pertanian di daerah itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kilang tersebut akan memproses semua jenis padi yang ditanam di pulau itu termasuk padi pulut.
“Pada tahun lalu, sebanyak 4,156 tan metrik padi dibeli oleh Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan perlu dihantar ke kilang di tanah besar untuk diproses yang melibatkan kos pengangkutan tinggi.
“Kos tersebut boleh mencecah sehingga RM75 setiap tan metrik atau RM300,000 setahun di samping tempoh penghantaran mengambil masa sehingga tiga hari yang menjejaskan kualiti padi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Padi Pulut Langkawi Smart SBB Ala Sekinchan di Pusat Pengumpulan Padi, Kampung Bukit Hantu, di sini semalam.
Tambah Mohamad, kilang padi itu akan dibangunkan di tapak Pusat Pengumpulan Padi berkenaan yang mampu mengeringkan sehingga 60 tan metrik padi setiap hari.
Menurutnya, kilang tersebut yang dijangka beroperasi tahun hadapan turut akan menempatkan mesin pengering padi, gudang padi kering, gudang beras dan hasil sampingannya serta rumah sekam.
“Di samping itu, kilang yang akan dikendalikan oleh Bernas ini juga akan dijadikan salah satu tarikan agro pelancongan di Langkawi dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
“Penggunaan konsep rumah kaca akan dilaksanakan bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri pemprosesan padi pulut di pusat ini,” katanya.
Sementara itu, fasa pertama projek padi pulut Langkawi melibatkan kawasan seluas 14.78 hektar di Ayer Hangat dengan penglibatan tujuh orang pesawah.
“Ayer Hangat dipilih sebagai lokasi pertama atas faktor infrastruktur lengkap berbanding kawasan lain dan mempunyai sumber pengairan utama dari Bukit Durian Perangin,” katanya.
Beliau berkata, luas keseluruhan projek dijangka sehingga 540 hektar dengan bilangan maksimum 326 orang pesawah. – UTUSAN







