KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan pelakon dan penyanyi veteran, Datuk Hail Amir, 76, merosot dan kini beliau masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kerana masalah batuk kronik sejak semalam.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez pagi tadi.
“Keadaan beliau tidak berapa baik.
“Karyawan akan berkongsi tentang perkembangan kesihatannya dari semasa ke semasa,” katanya yang dihubungi baru-baru ini.
Utusan Malaysia ketika ini masih belum berhasil untuk berhubung dengan keluarga Hail bagi mendapatkan perkembangan terkini beliau.
Hail pada 2018 dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung.
Sepanjang pembabitan lebih lima dekad dalam dunia seni, Hail telah menerbitkan 12 album selain menjayakan sembilan filem.
Seniman berasal dari Pulau Pinang itu terkenal menerusi lagu-lagu malar segar antaranya Wajah Kesayangan Hamba dan beberapa lagu duet bersama penyanyi Uji Rashid termasuk Menunggu Nasi Minyak dan Seloka Hari Raya.
Bapa lima cahaya mata ini pada tahun 2022 telah dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.










