PETALING JAYA: Dua lagi pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan bernilai RM1.25 juta.
Penahanan itu menjadikan lima pegawai termasuk Asisten Komisioner Polis (ACP) bagi siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Tangkapan terbaharu itu membabitkan seorang pegawai berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Sarjan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata beliau, reman empat hari juga diperoleh PDRM terhadap tiga pegawai kanan polis termasuk ACP yang ditahan semalam.
Razarudin berkata, kesemua tangkapan berkenaan melibatkan pegawai yang bertugas di sebuah bahagian di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.
“Tangkapan melibatkan pegawai JSJK telah diberi reman empat hari bermula hari ini yang akan berakhir Selasa ini,” katanya di sini.
Terdahulu media melaporkan, ACP antara tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.
Tangkapan dilakukan terhadap tiga pegawai berpangkat ACP, Deputi Superintenden Polis (DSP) dan Inspektor berusia lingkungan antara 38 sehingga 50 tahun.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek menafikan penglibatan dalam kes disiasat.
Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang dan Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.- UTUSAN










