ARAU: Kisah Muhammad Irfan Azhar, 18, yang hidup serba kekurangan namun masih mampu memperoleh keputusan cemerlang semua 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disiarkan Utusan Malaysia kelmarin, mendapat perhatian Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Semalam, pemimpin terbabit mengunjungi rumah keluarga remaja tersebut di Kampung Kepala 10, Lomboh, Tambun Tulang di sini.
Semasa kunjungan itu, Muhammad Irfan yang merupakan anak seorang tukang rumah baru pulang daripada kerja di sebuah kilang perabot di sini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad yang merupakan sekolah luar bandar itu bekerja bagi mengumpul duit sebelum menyambung pengajian.
Mohd. Shukri bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan meluangkan masa 30 minit berbual bersama Muhammad Irfan dan keluarganya selain menitipkan ucapan tahniah serta pesanan, seterusnya menyampaikan sumbangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Irfan berkata, pada masa ini, dia bekerja di sebuah kilang perabot dengan pendapatan RM50 sehari sebelum berhasrat menyambung pengajian.
Katanya, mengikut perancangan awal, dia ingin menyambung pelajaran di tingkatan enam namun jika ada tajaan berkemungkinan meneruskan pengajian di universiti.
“Masa yang ada ini, saya bekerja untuk kumpul duit bagi membantu menampung perbelanjaan apabila sambung belajar nanti sekali gus meringankan beban keluarga,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan, ia bukan penghalang kepada Muhammad Irfan memperoleh keputusan cemerlang semua 9A dalam SPM.
Selain mengambil upah melakukan kerja-kerja di bendang, bapa kepada Muhammad Irfan, Azhar Sabu, 49, bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan bulanan RM1,500.
Muhammad Irfan memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan al-Quran dan Sunnah, (A) bagi mata pelajaran Sejarah, Matematik, Sains, Ekonomi serta Pendidikan Syariah Islamiah selain A- bagi subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Sementara itu, ibu Muhammad Irfan, Normaliza Mohd Noh, 46, berkata, dia menyerahkan kepada anaknya membuat keputusan apa yang difikirkan sesuai apabila menyambung pengajian nanti dan sentiasa memberi sokongan. – UTUSAN










