Kerajaan Persekutuan benar Kedah tukar status tanah sawah - Utusan Malaysia

Kerajaan Persekutuan benar Kedah tukar status tanah sawah

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri di pekarangan Darulaman Park, Jitra di Kubang Pasu. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kerajaan Persekutuan bersedia meluluskan penukaran status tanah pertanian yang dikhususkan untuk tanaman padi di negeri ini kepada pembangunan komersial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu sebagai salah satu inisiatif untuk membantu meningkatkan pendapatan Kedah yang berperanan besar terhadap keselamatan makanan negara.

Menurut beliau, kebenaran itu diberikan untuk penukaran tanah sawah di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang merupakan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kita beri pertimbangan umpamanya cadangan beberapa kawasan MADA yang kalau boleh sedikit kawasan itu dipindahkan untuk perumahan, industri atau perniagaan.

“Kerajaan Persekutuan pada dasar bersetuju dan saya minta pegawai-pegawai berkaitan runding segera supaya dapat membantu meningkatkan pendapatan Kedah,” katanya ketika berucap sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Terdahulu, Muhammad Sanusi ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Khas Pembangunan bersama Perdana Menteri memaklumkan isu berkaitan pengekalan tanah sawah turut disentuh dalam sesi itu.

Tambah Perdana Menteri, Kedah memiliki peranan istimewa dan unik daripada sudut pengeluaran hasil padi selain perlu mengambil kira kelompok kemiskinan pesawah yang menjadi tulang belakang kepada sektor tersebut.

Sementara itu, beliau juga bersetuju meningkatkan peruntukan bagi projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan MADA bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan bagi projek itu yang sebelum ini membabitkan nilai RM3 bilion telah ditingkatkan kepada RM5 bilion.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengarahkan agensi terlibat menoktahkan kemiskinan tegar melibatkan sebanyak 2,500 buah keluarga di Kedah dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Beliau berkata, langkah penyelesaian itu juga memerlukan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Saya telah umumkan kemiskinan harus segera dinoktahkan kerana tidak munasabah dalam keadaan kita hidup begini dengan kemudahan makan minum begini, ada dalam kalangan masyarakat kita tidak cukup makan, pakaian atau perbelanjaan sekolah mereka.

“Kita nak selesaikan semua masalah kemiskinan akan ambil masa tetapi kemiskinan tegar kita mampu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN