PBB gesa bantah kawalan Iran ke atas Selat Hormuz

PBB gesa bantah kawalan Iran ke atas Selat Hormuz

SELAT Hormuz dibuka selepas ditutup Iran ekoran AS-Israel melancarkan serangan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Negara-negara anggota perlu menolak usaha Iran untuk mengukuhkan kawalan ke atas Selat Hormuz serta keputusan sepihak Teheran menubuhkan badan bagi mengawal lalu lintas maritim di laluan strategik itu.

Persetujuan tersebut dicapai oleh Majlis Pentadbir agensi perkapalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran meningkat minggu ini, termasuk serangan udara oleh AS selepas Washington mendakwa Teheran terlibat dalam serangan terhadap kapal.

Perkembangan itu mencetuskan semula kebimbangan terhadap pemulihan bekalan minyak global dan sektor perkapalan, selain menimbulkan persoalan mengenai ketahanan gencatan senjata sementara bagi menamatkan konflik lebih empat bulan ketika kedua-dua negara berusaha mencapai perjanjian berkekalan.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang berpangkalan di London, di bawah PBB, bertanggungjawab mengawal selia keselamatan serta perlindungan perkapalan antarabangsa, selain mencegah pencemaran laut. Organisasi itu mempunyai 176 negara anggota.

Perlindungan laluan perkapalan penting dibincangkan dalam sidang Majlis Pentadbir IMO yang mempunyai 40 anggota minggu ini, dengan negara-negara Teluk, AS dan Iran bertelagah mengenai masa depan Selat Hormuz.

Majlis IMO mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Iran menubuhkan sebuah entiti yang didakwa bertujuan mengawal lalu lintas melalui selat berkenaan, menurut teks keputusan tidak mengikat yang dicapai.

Majlis itu menyeru negara anggota supaya tidak mengiktiraf tuntutan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz, dakwaan bidang kuasanya terhadap zon maritim negara ketiga di dalam dan sekitar selat berkenaan yang melanggar kedaulatan, hak berdaulat serta bidang kuasa eksklusif negara-negara terbabit.

Negara anggota turut diminta tidak mengiktiraf sebarang keputusan Iran yang bertujuan menutup, menghalang, menyukarkan atau mengganggu pelayaran antarabangsa serta hak laluan transit.

Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran yang baru ditubuhkan pula memaklumkan dalam notis pada Jun bahawa tiada kapal dibenarkan melalui laluan perairan itu ‘tanpa permit laluan sah’ yang dikeluarkan oleh badan berkenaan.

Iran, yang tidak mempunyai kerusi dalam Majlis Pentadbir IMO, memberitahu perwakilan badan itu minggu ini bahawa negara berkenaan menolak tuduhan terpilih, bermotifkan politik dan tidak berasas dari segi undang-undang yang dilemparkan terhadapnya.

Delegasi IMO Iran berkata, Teheran bukan pihak kepada Konvensyen Antarabangsa Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan tidak terikat dengan rejim berasaskan perjanjian tersebut.

“Langkah yang dilaksanakan oleh Iran bertujuan memastikan keselamatan dan perlindungan maritim, mencegah penyediaan sokongan atau bantuan terhadap tindakan pencerobohan, melindungi kedaulatan serta kepentingan keselamatan penting Iran, selain memastikan pelayaran kekal selamat dan tidak mengancam.

“Langkah ini tidak bermaksud menutup selat berkenaan,” kata delegasi Tehran.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN