KLUANG: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menjadi detik bersejarah buat sepasang pengantin baharu apabila meninggalkan majlis perkahwinan mereka seketika untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pengantin, Nurul Aida Mohd Kamal, 25, berkata, dia terkejut apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh mengundi yang sama dengan hari persandingannya.
Kata Nurul Aid, dia rasa teruja kerana dapat mengundi buat kali kedua dalam suasana yang berbeza.
“Saya teruja dan ini jadi satu sejarah dalam hidup saya dan suami sebab hari mengundi dan perkahwinan kami adalah hari yang sama.
“Saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun saya mempunyai perkara lain,” katanya ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Ayer Hitam, Felda Ayer Hitam, di sini hari ini.
Nurul Aida ditemani suami, Raja Akmal Hakim Raja Abdul Rahim, 25, bersama pengapit hadir ke pusat pengundian.
Katanya, dia anak ketiga daripada empat beradik, manakala suaminya, anak kelima daripada enam beradik.
Kongsinya, suami akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat mengundi lain di sekitar Kluang selepas ini.
“Suami saya juga orang Johor, dia akan mengundi di pusat mengundi di Kluang,” katanya. – UTUSAN









