Kerajaan negeri Perak sumbang 396 lembu korban

Kerajaan negeri Perak sumbang 396 lembu korban

SAARANI Mohamad (enam dari kanan) bersama wakil GLC yang menyumbang lembu korban pada majlis di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri Perak menyumbang 396 ekor lembu korban bernilai RM2.89 juta sempena Hari Raya Aidiladha untuk 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),  masjid, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua lembu korban itu hasil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perak memaklumkan, lembu korban itu disumbangkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

“Setiap 59 kawasan DUN, termasuklah DUN pembangkang akan menerima lima ekor dengan jumlah keseluruhan sebanyak 295 ekor lembu.

“Baki 101 ekor lembu lagi akan diagihkan kepada masjid, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya pada Majlis Akad Penyerahan Lembu Korban Kerajaan Negeri di Pejabat Menteri Besar di sini semalam.

Katanya, Jabatan Mufti Negeri Perak akan mengeluarkan garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan ibadat korban itu.

“Garis panduan itu bertujuan memastikan pelaksanaan program sumbangan lembu korban itu berlandaskan tuntutan syarak.

“Pelaksanaan ibadah korban juga perlu mematuhi peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar demi memastikan kelancaran dan ketertiban program yang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Saarani menegaskan, kerajaan negeri tidak akan campur tangan apa sahaja kes yang melibatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila ia melibatkan SPRM dan polis maka kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman kerana masih  peringkat siasatan,” katanya mengulas penyelewengan  penukaran status tanah rizab Melayu yang berlaku di Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN