Kerajaan jamin rawat penerima vaksin hadapi kesan sampingan

Kerajaan jamin rawat penerima vaksin Covid-19 hadapi kesan sampingan

Dzulkefly Ahmad dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kerajaan memberi jaminan akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin Covid-19 yang mengalami kesan sampingan terutama vaksin yang dikeluarkan oleh AstraZeneca.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, rawatan susulan akan disediakan sekiranya gejala atau simptom dialami pesakit terbukti berkaitan dengan vaksin berkenaan.

Menurutnya, kerajaan mempunyai data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin dan mempunyai kaedah bagi merawat kesan sampingan tersebut.

“AstraZeneca sudah menarik balik vaksin mereka, ini isu global. Apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang terbukti berdepan isu kesihatan terkait dengan AstraZeneca, kita ada cara untuk memastikan mereka diberikan perlindungan dan bantuan.

“Ada kaedah untuk kerajaan bertanggungjawab memberi rawatan kepada mereka. Itu jaminan kerajaan dan kita akan tahu kes-kes berkaitan kerana ada data pendaftaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, firma farmaseutikal, AstraZeneca dilapor menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.
Tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan pengakuan syarikat itu dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin AZ boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Syarikat farmaseutikal itu menghadapi tuntutan saman atas dakwaan vaksin dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Tambah Dr. Dzulkefly, kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya turut terbukti menghadapi kesan sampingan.

Beliau berkata, isu berkaitan vaksin Covid-19 tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP)

“Walaupun ada segelintir pihak yang sangat sensitif dengan isu vaksin, namun NIP yang menjadi amalan di negara ini sejak sekian lama berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak serta mencegah jangkitan penyakit serius.

“Vaksin Covid-19 itu satu hal lain, kita juga ada program-program vaksinasi seperti HPV untuk kanser pangkal rahim. Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, ada pendidikan, pencerahan dan pengetahuan malah kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN