Kerajaan belum muktamad misi carian semula pesawat MH370 - Utusan Malaysia

Kerajaan belum muktamad misi carian semula pesawat MH370

Pesawat MH370
ANTHONY Loke Siew Fook merasmikan Karnival Kerjaya ECRL di Bandar Utama Batang Kali, di Hulu Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kerajaan belum memuktamadkan misi pencarian semula pesawat milik syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAG) iaitu MH370 yang dipercayai hilang dekat Lautan Hindi Selatan pada 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, kerajaan sedang ke arah usaha tersebut dan sudah pun berjumpa dengan pihak Ocean Infinity pada Khamis lalu untuk memulakan pencarian semula pesawat yang membawa 280 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara demikian perlu dibawa ke Kabinet terlebih dahulu untuk diteliti serta mewujudkan perjanjian antara kerajaan dengan pihak syarikat robotik marin itu.

“Maka selepas perbincangan itu, kita putuskan mereka hantar kertas cadangan bersama dengan bukti-bukti ataupun maklumat untuk penelitian bahagian udara dan pihak terlibat di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Selepas itu kita perlu rujuk kepada Kabinet untuk (mewujudkan) satu perjanjian antara kerajaan dengan Ocean Infinity dan kita menjangkakan proses itu akan mengambil masa tiga bulan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, beliau mengambil maklum berkenaan kesediaan Ocean Infinity untuk memulakan misi pencarian seawal November berikutan keadaan laut dan cuaca yang baik di Lautan Hindi Selatan bermula pada bulan tersebut hingga April.

Bagaimanapun, Anthony Loke menegaskan cadangan tersebut perlu melalui proses tertentu termasuk kelulusan Kabinet sebelum ia dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pencarian pesawat MH370 oleh Ocean Infinity akan melibatkan implikasi kewangan sekiranya bangkai kapal terbang tersebut ditemukan dalam misi berkenaan.

“Ia tak melibatkan kos baharu, malah sebelum ini pun tak ada kos, ia berdasarkan kepada prinsip kalau tak dapat cari kapal, tak ada bayaran. Mereka mesti dapat cari pesawat tersebut baru bayaran dilunaskan.

“Mereka bersedia untuk memulakan pencarian bermula November. Jadi kita ke arah tersebut dan perlu membuat beberapa langkah, antaranya ialah kita perlu bincang lanjut maklumat diberikan dan juga perlu ada perjanjian antara kerajaan dengan Ocean Infinity sebab itu melibatkan implikasi kewangan sekiranya pesawat itu dapat dicari,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN