PETALING JAYA: Perdana Menteri menjelaskan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenaikan itu dalam usaha mengimbangi pendapatan pekerja yang bergred rendah dan tinggi.
“Tetapi kenaikan bukan elaun, (tapi) gaji pokok. Keduanya, bagi golongan rendah itu mungkin mencecah 25 sehingga 35 peratus. Jadi ia berbeza dengan pendekatan lama, yang keutamaan untuk kelompok tinggi.
“Jadi tumpukan untuk golongan lebih rendah dan mengurangkan kenaikkan bagi peringkat tertinggi,” katanya dalam Program Soal Jawab Perdana Menteri hari ini.
Terdahulu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus mulai 1 Disember tahun ini ketika sambutan Hari Pekerja di Putrajaya.
Ketika mengumumkan perkara itu pada hari sambutan Hari Pekerja di sini, Perdana Menteri berkata, ia antara keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) iaitu satu kenaikan tertinggi dalam sejarah.
Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.-UTUSAN










