Kematian Zulfarhan ‘kes yang paling jarang antara yang jarang berlaku' - Pendakwa

Kematian Zulfarhan ‘kes yang paling jarang antara yang jarang berlaku’ – Pendakwa

ZULKARNAIN Idros (bapa Zulfarhan Osman) hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mendengar rayuan pendakwaan berhubung kes kematian anaknya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan menyifatkan tragedi kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu sebagai `kes paling jarang, di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dikenakan hukuman mati kerana membunuh pegawai kadet laut itu.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai berhujah di Mahkamah Rayuan hari ini, sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan seharusnya dikekalkan kerana pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang mencukupi untuk mensabitkan keenam-enamnya atas pertuduhan membunuh Zulfarhan.

Hujah beliau, luka melecur akibat tekapan seterika wap meliputi 80 peratus badan Zulfarhan menyebabkan kulitnya menggelembung selepas dibuli dan didera ketika sesi soal siasat berhubung kecurian komputer riba milik salah seorang daripadanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi manakala sabitan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan digantikan dengan Seksyen 302.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali. Kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Mereka disabitkan menyebabkan kematian Zulfarhan, 21, di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mangai selanjutnya berhujah, wujud keterangan bahawa keenam-enamnya enggan membawa Zulfarhan ke hospital kerana tidak mahu memburukkan nama mereka.

“Keadaan Zulfarhan begitu teruk sehingga dia tidak dapat mengikuti kelas akibat kesakitan manakala badannya dipenuhi gelembung.

“Keterangan juga menunjukkan pemandu e-hailing yang membawa Zulfarhan ke hospital terpaksa mengelap bahagian tempat duduk penumpang belakang kerana terdapat kesan darah dan cecair pada tempat mangsa duduk,” ujar beliau.

Sementara itu, pihak pembelaan menghujahkan, enam bekas penuntut tersebut tidak wajar disabitkan atas tuduhan membunuh Zulfarhan kerana kematian pegawai kadet laut itu bukan sesuatu yang dirancang.

Peguam Amer Hamzah Arshad berhujah, tiada bukti yang menunjukkan keenam-enamnya berniat membunuh Zulfarhan sebaliknya mereka hanya menyoal siasat mangsa untuk mendapatkan maklumat berhubung kecurian komputer riba.

Hujah beliau, Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin mengaku menekap tubuh Zulfarhan menggunakan seterika wap, namun perbuatan itu tidak terjumlah kepada niat untuk membunuh mangsa.

“Mahkamah perlu mempertimbang apa yang mereka fikirkan ketika itu (menekap tubuh Zulfarhan) sama ada wujud niat untuk membunuh mangsa.

“Saya setuju mereka harus dihukum kerana mencederakan Zulfarhan, tapi bukan kerana membunuh apatah lagi mereka menuntut di universiti yang sama,” ujar Amer Hamzah.

Terdahulu, peguam Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus yang mewakili Abdoul Hakeem berhujah, Zulfarhan mempunyai banyak peluang untuk mendapatkan rawatan di hospital untuk kecederaan yang dialaminya dan tiada siapa yang menghalang mangsa berbuat sedemikian.

“Tempat kejadian (bilik UPNM) bukanlah di dalam hutan dan ramai orang berada di sekelilingnya, takkanlah satu panggilan telefon kepada ibu bapanya pun tidak boleh dibuat? Ini adalah satu kemusykilan yang bermain dalam fikiran peguam-peguam,” ujarnya.

Mendengar hujahan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian bertanya kepada peguam: “Adakah kamu menyalahkan mangsa pula?”

Namun Mohd. Zamri berkata, banyak faktor yang menyumbang kepada kematian Zulfarhan tetapi untuk meletakkan kesemua kesalahan terhadap perayu-perayu adalah tidak tepat sama sekali.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersama-sama Mohamed Zaini dan Datuk Azmi Ariffin menetap keputusan pada 23 Julai ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini