SHAH ALAM: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari di dalam DUN Selangor kemungkinan besar akan bertukar pada Sidang DUN ke-15 dijadual 4 Julai depan.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berkata, perubahan tersebut berikutan Abdul Rashid daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan beliau kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Oleh kerana itu, kita perlu tukarkan beliau ke kelompok di tengah-tengah antara penyokong kerajaan dan pembangkang.
“Kerana beliau ADUN senior selama dua penggal dan juga bekas exco, beliau tidak boleh duduk di belakang tetapi di depan, bagaimanapun kita tunggu 4 Julai depan,” katanya pada Majlis Perasmian ADUN Muda Selangor 2024, hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan beliau kepada kepimpinan Amirudin di negeri ini.
Menurut bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu, keputusan berkenaan dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.
Dalam pada itu, Weng San memaklumkan ADUN Kuala Kubu Baharu yang baharu, Pang Sock Tao akan mengangkat sumpah jawatan pada sidang DUN akan datang.
Pada 11 Mei lalu, Sock Tao daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK tersebut
dengan majoriti 3,869 undi apabila memperoleh 14,000 undi, menewaskan tiga calon lain. – UTUSAN










