SHAH ALAM: Tindakan yang akan diambil terhadap Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berhubung keputusannya memberi sokongan kepada Kerajaan Persekutuan akan ditentukan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, malam ini.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, tindakan susulan itu diserahkan kepada pucuk pimpinan bagi menentukan kedudukannya dalam parti sama ada dipecat atau sebaliknya.
“Tindakan susulan akan diserahkan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat MPT di Publika, Kuala Lumpur pada malam esok kerana juga adalah Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor yang dilantik oleh pimpinan pusat.
“Berhubung keputusannya itu juga, saya hanya ketahuinya melalui berita-berita di akhbar dan kenyataannya sendiri dalam media sosial sebelum pegawainya di Parlimen Tanjong Karang mengesahkan perkara tersebut.
“Beliau membuat keputusan tersebut secara bersendirian dan tidak membincang atau menyuarakan hasratnya itu kepada pimpinan parti sama ada di peringkat negeri ataupun pusat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Dr. Zulkafperi yang menjadi ahli Parlimen PN ketujuh mengambil keputusan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta-merta.
Keputusan tersebut dibuat beliau dengan rela hati atas alasan untuk menjamin kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan hidup rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.
Bagaimanapun, tindakan tersebut mengundang kritikan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh (PN) dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menyifatkannya sebagai membelakangkan parti dan pengundi di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang memaklumkan sebarang aduan berkenaan perkhidmatan Dr. Zulkafperi sebagai wakil rakyat di sana juga akan ditentukan oleh pimpinan pusat.
“Berkenaan aduan terhadap perkhidmatannya itu baik atau buruk adalah urusannya sendiri, namun tindakan susulan akan ditentukan oleh pimpinan parti dalam mesyuarat nanti memandangkan beliau adalah ahli parlimen,” ujarnya.
Dr. Zulkafperi merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang keenam mengisytiharkan sokongan kepada Anwar selepas enam yang lain iaitu Syed Abu Hussin (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan satu perhimpunan aman akan diadakan oleh pengundi Parlimen Tanjong Karang di sana bagi membantah keputusan yang disifatkan sebagai mengkhianati mereka. – UTUSAN










