Jika saya marah Teresa, saya pilih hantar minyak sawit - Ka Siong

Jika saya marah Teresa, saya pilih hantar minyak sawit – Ka Siong

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teresa Kok Suh Sim disaran  tidak memetik nama mana-mana individu berhubung surat ugutan berserta dua butir peluru yang diterimanya baru-baru ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau tidak suka jika namanya sesuka hati disebut terutama berhubung kes serius yang diterima Teresa

Menurut beliau, Bahasa Melayu yang digunakan dalam mesej ugutan diterima oleh Ahli Parlimen Puteh itu sangat teruk.

“Mana mungkin Bahasa Melayu saya seteruk itu? Kalau saya marah dengan kamu dan terpaksa menghantar sesuatu kepada kamu (Teresa Kok), maka saya pasti akan menghantar dua botol minyak sawit buatan Malaysia untuk ‘mencerdikkan’ kamu.

“Faham ke tidak? Apa pun kamu sudah membuat laporan polis, biar polis siasat dan ambil tindakan. Kenapa nak sebut nama saya lagi?” soalnya di dalam satu hantaran di Facebook.

Ahad lalu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu  memaklumkan, beliau menerima ancaman berkenaan menerusi peti surat di kediamannya.

Beliau berkata, kandungan sampul surat itu mempunyai dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis kata-kata kesat dan berbau perkauman.

Bekas Menteri Industri Utama itu merupakan pemimpin DAP ketiga yang menerima ugutan.

Pada 10 Januari, rumah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham diserang sehingga menyebabkan sebuah kereta miliknya musnah dan dua kereta lain rosak dalam kebakaran.

Sementara itu, pada 7 Mac, Nga Kor Ming yang juga merupakan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menerima berpuluh kertas ugutan yang ditabur di hadapan rumah ibunya di Ayer Tawar, Manjung, Perak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN