MEKAH: Terserempak dengan beberapa kumpulan jemaah haji Turkiye dan Pakistan semalam, sewajarnya menginsafkan sesiapa khususnya jemaah haji Malaysia.
Ini kerana jarak maktab penginapan jemaah Malaysia ke Masjidil Haram yang disediakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) lebih kurang satu kilometer.
Jemaah Turkiye pula dilaporkan disediakan perkhidmatan pengangkutan bas 24 jam untuk membawa pergi dan balik jemaah dari penginapan di kawasan yang terletak kira-kira tujuh hingga lapan kilometer dari Masjidil Haram.
Malah, berdasarkan pemerhatian Mingguan Malaysia, ‘kesukaran’ dialami mereka yang terpaksa bergegas menuju ke satu hentian lapang kira-kira setengah kilometer menunggu bas yang akan membawa mereka kembali ke hotel penginapan.
Berbanding jemaah haji Malaysia, jarak penginapan yang berhampiran maktab penginapan membolehkan mereka menggunakan sepenuhnya masa berharga untuk berwirid, berdoa atau melakukan solat tawaf sunat tujuh pusingan mengelilingi Kaabah.
Selain itu, menurut Pengurus Khidmat Pelanggan Tabung Haji di Mekah, Mohamad Zakee Mohd Zaludin, Pasukan Peronda Tabung Haji akan bertugas 24 jam di lapan lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji Malaysia, terutama dari segi pandu arah demi memastikan keselamatan mereka sebagaimana tahun sebelumnya
Antara kawasan terlibat adalah dua kawasan di sekitar Marwah, sekitar pintu Assalam, dataran Safwah, kawasan dataran laluan ke Misfalah dan berhadapan pintu King Abdullah.
Beliau berkata, kebanyakan kes jemaah tersasar adalah melibatkan mereka yang kali pertama tiba Tanah Suci dan belum pernah menunaikan umrah sebelum ini terutama dalam kalangan warga emas.
“Jadi sebab itu kita tempatkan Pasukan Peronda TH di lapan kawasan utama di sekitar Masjidil Haram untuk lihat pergerakan mereka dan memantau pergerakan mereka. Contohya bagi jemaah yang menunaikan umrah pertama memang kita akan lihat dan pantau perjalanan mereka dari satu check point ke check point lain.
“Jika ada jemaah lambat pulang kita akan maklumkan dalam kumpulan,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Tabung Haji semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Zakee berkata, sebanyak 71 kes aduan jemaah haji diterima (Tabung Haji) sejak 9 Mei lepas dengan 87 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Katanya, kebanyakan kes terbabit berkaitan kehilangan tanda pengenalan diri seperti lanyard (tali penyandang) dan gelang haji.
Justeru beliau mengingatkan jemaah haji Malaysia agar sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan Tabung Haji sepanjang masa ketika berada di tanah suci.
“Semua jemaah haji kita perlu untuk menjaga tanda pengenalan masing-masing seperti lanyard, lencana dan juga gelang haji ketika di Mekah.
“Ini penting sebab ia menjadi tanda pengenalan kita sepanjang masa di Mekah nanti dan bukannya pengenalan atau dokumen penting sebagaimana di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










