SHAH ALAM: Jabatan Perikanan Selangor (JPS) menyiasat dan memantau rapi kes pelepasan ribuan anak ikan keli asing di Sungai Hulu Bernam, kelmarin.
Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, maklumat tular pada awalnya mendakwa kejadian berlaku di Perak, namun kemudian mendapati pelepasan ikan keli itu melibatkan kawasan Sungai Hulu Bernam di negeri ini.
“Justeru, sepasukan pegawai dan kakitangan termasuk dari Pejabat Perikanan Daerah Hulu Selangor diarah menjalankan siasatan dan memantau lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini menguas video di media sosial memaparkan tindakan beberapa individu didakwa melepaskan ribuan anak ikan di Sungai Hulu Bernam, Tanjung Malim, Perak.
Jabatan Perikanan Perak (JPP) bagaimanapun mengesahkan kejadian bukan berlaku di negeri berkenaan, sebaliknya di Selangor.
Jelas Noraisyah, beberapa sungai di negeri ini dikenal pasti menjadi habitat spesies ikan asing iaitu melibatkan Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam selain beberapa tasik serta kolam takungan.
“Faktor punca lambakan ikan itu antaranya berkaitan ritual keagamaan dan membayar nazar selain dibela sebagai hobi namun dilepaskan selepas tidak mampu mengendalikannya,” ujarnya.
Tambah beliau, ikan spesies invasif seperti baung ekor merah, peacock bass dan pacu mampu membiak serta membesar dengan cepat. – UTUSAN










