KUALA LANGAT: Sebanyak 3.65 tan atau 3650 kg ikan asing ditangkap dalam program Aktiviti Memburu Ikan Asing terutama ikan bandar raya atau nama saintifiknya, Hypostomus Plecostomus di Kuala Langat baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hashila Hamzah, kawasan sungai yang terlibat adalah Sungai Klang berhampiran Taman Mas Langat, Bandar Saujana Putra.
“Program konservasi yang melibatkan 150 peserta daripada Jabatan Perikanan Negeri Selangor dengan Kerjasama Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) dan usahasama MPKL serta komuniti setempat.
“Ia juga merupakan salah satu usaha memelihara dan memulihara ekosistem sungai khususnya tebing sungai bagi mengelakkan serta mengurangkan risiko banjir kilat, gelinciran tebing sungai dan kepupusan spesis ikan selain daripada ikan pleco,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, pemilihan kawasan Sungai Klang berhampiran Taman Mas Langat, disebabkan lokasi tersebut merupakan antara sungai utama di negeri ini yang terletak dalam kawasan pembangunan pesat.
Katanya Hashila lagi, selain fungsi ekologi dan sumber air, sungai tersebut juga menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan air tawar.
“Namun begitu, kewujudan spesies ikan asing invasif seperti ikan bandaraya dan ikan keli Afrika telah menjejaskan kelestarian ekosistem sungai, termasuk populasi ikan tempatan seperti ikan haruan, toman, pipi merah dan tebal sisik.
“Program memburu ikan asing tersebut bermula pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang.Kesemua ikan asing yang ditangkap,dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Tanjung 12,” ujarnya. – UTUSAN










