PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan, beliau sedia disiasat berhubung dakwaan mengedarkan sampul duit raya terpapar gambarnya kononnya diberikan kepada pengundi di Kuala Kubu Bharu (KKB).
Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB baru-baru ini.
“Siasat lah nak siasat pun. Tidak mengapa, mereka akan tahu apa yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di sini, hari ini.
Kata beliau, pemberian duit raya itu adalah amalannya setiap kali menyantuni kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pesakit di wad.
Oleh itu, katanya, tindaka itu langsung tidak terkait dengan gerakan kempen PRK KKB ketika ini.
“Ke mana saya pergi buat lawatan ke hospital untuk menyantuni kakitangan dan pesakit, saya bagi duit raya. Ia secara peribadi daripada saya dan tidak terkait dengan pilihan raya.
“Awak nak kata apa pun itu lah. Saya bukan hendak cari populariti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Dr. Dzulkefly memberi duit raya kepada pengundi di KKB dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara itu. – UTUSAN










