ITBM sedia bantu sektor pendidikan tingkatkan penguasaan bahasa asing - Utusan Malaysia

ITBM sedia bantu sektor pendidikan tingkatkan penguasaan bahasa asing

NOOR Amin Ahmad (dua dari kanan) menyerahkan buku projek Inisiatif Belanjawan 2023 kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Kangar, Perlis, semalam UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) memperkukuhkan kerjasama dengan institusi pendidikan menengah dan rendah dalam usaha meningkatkan bidang penterjemahan selain pelbagai program untuk menyokong sektor pendidikan negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Noor Amin Ahmad berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan berkongsi peranan dan kepakaran yang ada dengan institusi pendidikan khususnya peringkat rendah dan menengah dengan memberi pendedahan mengenai industri penterjemahan di Malaysia.

“ITBM mendedahkan potensi industri penterjemahan serta kepentingan menguasai bahasa asing yang mempunyai potensi yang cukup luas dalam pasaran dunia masa kini.

“Kita juga menyampaikan hasrat ITBM membantu murid dan guru di sekolah melalui latihan mengukuhkan penguasaan mereka, mendedahkan potensi laluan pendidikan dan seterusnya kerjaya dalam industri penterjemahan,” katanya selepas menyampaikan edaran buku Inisiatif Belanjawan 2023 kepada 104 buah sekolah di sini semalam.

Tambah Noor Amin, keperluan menguasai bahasa asing adalah elemen yang sangat diperlukan dalam dunia antarabangsa.

Beliau juga percaya peranan ITBM mampu menyokong pelajar mahupun guru menguasai bahasa asing ke tahap lebih tinggi selain mampu menjana pendapatan yang cukup besar daripada industri itu sendiri.

“Adalah satu kerugian apabila mata pelajaran bahasa asing yang dipelajari di sekolah tidak digilap ke tahap paling tinggi dan kemahiran itu hilang begitu apabila tidak dipraktikkan,” katanya.

Menurut Noor Amin, pihaknya melalui dana disalurkan menerusi Inisiatif Belanjawan 2023 turut menerbitkan sebanyak 117 judul buku baharu meliputi pelbagai genre.

“Antara yang diterbitkan adalah Koleksi Cerpen Malaysiana Penulis cilik nukilan terpilih murid sekolah rendah dari negeri-negeri seluruh Malaysia yang bersifat penulisan lokaliti untuk menyuburkan silang budaya masyarakat negara ini.

“ITBM juga mengambil inisiatif untuk menganjurkan aktiviti utama iaitu Pesta Buku Mini di mana sekolah itu sendiri akan menjadi ‘anchor’ dan turut merangkumi elemen pendidikan lain seperti pencegahan jenayah siber dan sebagainya,” jelasnya.

Katanya lagi, ITBM juga akan menganjurkan Bengkel Penulisan Cerpen dan Puisi (Penulis Remaja) Peringkat Kebangsaan sebagai platform menonjolkan kreativiti pelajar di peringkat sekolah menengah pada tahun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN