PETALING JAYA: Seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia diseru untuk bertenang selepas Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membuat ketetapan tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong akan kekal sebagai bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar meminta semua pihak tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana tidak sihat dan menjejaskan perpaduan serta kerharmonian negara.
“Saya percaya penghakiman yang dibuat adalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Mahkamah Persekutuan yang telah menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis dan Kerajaan Perlis.
Ini selepas keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman tiga anak Siew Hong yang berumur di bawah 18 tahun sebagai berperlembagaan.
Susulan penolakan permohonan kebenaran itu, tiga orang anak kepada wanita tersebut adalah kekal beragama Hindu.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sudah pun mengusulkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang dipengerusikan Tun Zaki Tun Azmi.
“(Ini) untuk diperhalusi perkara-perkara berkaitan pendaftaran pengislaman agar dapat diharmonikan dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN









