Israel lancar serangan baharu di Rafah

Israel lancar serangan baharu di Rafah

ASAP berkepul selepas pengeboman Israel, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAFAH: Israel melancarkan serangan baharu di bandar Rafah, selatan Gaza, di mana tenteranya memerangi kumpulan Hamas selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermesyuarat untuk membincangkan serangan maut yang mencetuskan bantahan global.

Walaupun terdapat kebimbangan meningkat terhadap korban awam perangnya, Israel tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan haluan dan usaha antarabangsa yang bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata masih terhenti.

Wartawan AFP di Rafah melaporkan serangan baharu berlaku beberapa jam selepas saksi dan sumber keselamatan Palestin berkata kereta kebal Israel  menembusi pusat bandar itu.

“Orang ramai kini berada di dalam rumah mereka kerana sesiapa yang bergerak ditembak oleh dron Israel,” kata penduduk Abdel Khatib.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran kepada Israel agar tidak melancarkan operasi ketenteraan besar di Rafah, tetapi pentadbirannya semalam menegaskan bahawa Israel masih belum melepasi garis merahnya.

“Kami tidak melihat mereka merempuh Rafah,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.

Seorang pegawai pertahanan awam di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, serangan Israel ke atas kem pemindahan di barat Rafah semalam membunuh sekurang-kurangnya 21 orang selepas serangan serupa pada hujung minggu mencetuskan kemarahan global dan mendorong sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB.

Tentera Israel menolak dakwaan bahawa pihaknya melakukan serangan semalam di kawasan kemanusiaan yang ditetapkan.

“Tentera (tentera Israel) tidak menyerang di kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi,” kata tentera dalam satu kenyataan, merujuk kepada kawasan yang telah ditetapkan untuk berteduh di Rafah.

Pada Ahad lalu, serangan Israel di luar Rafah mencetuskan api di kem pemindahan, membakar tempat perlindungan sementara dan membunuh 45 orang, menurut pegawai Palestin.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggelar serangan itu hanya sebagai kemalangan tragis manakala tentera berkata ia menyasarkan kawasan Hamas dan membunuh dua anggota kanan kumpulan itu.

Tentera kemudian berkata senjata yang digunakannya tidak bolehmenyebabkan kebakaran kem maut. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN