KANGAR: Harumanis Perlis tetap menjadi pilihan utama rakyat negara ini sebagai harumanis asli yang paling sedap disebalik keyakinan kerajaan Kedah bahawa harumanis negeri itu bakal mengatasi harumanis Perlis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh berkata, Perlis sama sekali tidak akan terganggu dengan kenyataan seperti itu berdasarkan semua sedia maklum bahawa harumanis asli tetap dari negeri ini.
Katanya, daripada segi geografi kawasan tanaman di Perlis yang cuacanya panas dengan kebiasaan 35 ke 40 darjah Celsius menjadi antara faktor hasil tanaman harumanis di Perlis manis dan sedap.
“Biarlah nak kata apa pun, apa yang pasti yang tetap sedap dan original (asli) tetap harumanis Perlis. Yang penting pertahankan kualiti, tidak payah rasa terganggu.
“Asas dia, di kawasan tanaman yang lebih kering akan lebih manis dan jikalau tanah kebun basah harumanis tidak berapa hendak jadi. Bila banyak air ada kesan terhadap tahap kemanisan buah harumanis berkenaan
“Terpulang Kedah nak buat apa, tapi orang Malaysia tetap nak cari harumanis Perlis. Kalau hendak rasa paling sedap pastikan harumanis Perlis ini sentiasa menjaga kualiti,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan, harumanis Kedah yang dijenamakan semula sebagai Harumanis D’Aman semakin popular dan mendapat perhatian diyakini mampu mengatasi harumanis Perlis pada masa akan datang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, harumanis Kedah berpeluang mendominasi pasaran mangga dalam masa terdekat di Malaysia meskipun baru dilancarkan tahun lalu selain harumanis Kedah dilihat memiliki keluasan saiz dan tanaman melebihi negeri lain.
“Hai, 80 tiang tinggal (jauh meninggalkan) harumanis Perlis dari segi keluasan saiz dan tanaman. D’Aman ini luas tanamannya dan banyak produk dia, harumanis ini asalnya dari Kedah cuma dikomersialkan di negeri lain,” kata Menteri Besar Kedah itu.
Sebagai rekod, nama mangga harumanis Perlis merupakan hak eksklusif kerajaan negeri Perlis setelah pendaftaran jenama dibawah Perbadanan Harta Intelek (myIPO) diluluskan pada tahun 2011.
Justeru, pengeluar dan pengusaha mangga harumanis Perlis di seluruh negeri ini adalah dinasihatkan untuk menjaga dan memelihara nama dan kualiti mempelam berkenaan untuk kelestarian industri di masa hadapan.
Keluasan kawasan tanaman harumanis di negeri ini adalah sebanyak 1,745.79 hektar manakala keluasan berhasil sekitar 1,611.59 hektar membabitkan 2,693 pengusaha.
Nilai pengeluaran harumanis Perlis musim ini pula dianggarkan mencecah RM44.48 juta dengan jangkaan pengeluaran hasil 1,779,21 tan metrik.
Sementara itu, seorang pengusaha, Sofi Shamsudin,33, pula berkata, harumanis Perlis dan Kedah sudah pastinya mempunyai perbezaan memandangkan kawasan tanaman di negeri ini lebih kepada kawasan tanah batu kapur atau bukit dan negeri jiran itu pula kebanyakkan di kawasan tanah bendang.
Katanya, harumanis Perlis isinya pula lebih halus, lembut dan manis disebabkan faktor cuaca panas dan kawasan tanah yang tidak mempunyai banyak air.
Ujarnya, brix kemanisan harumanis Perlis juga lebih tinggi daripada Kedah.
“Apa pun, harumanis Perlis tetap paling asli dengan kawasan tanah batu kapur dan faktor iklim dan geografi negeri ini sesuai untuk tanaman mempelam berkenaan,” katanya. – UTUSAN










