PETALING JAYA: Bekas penyampai radio popular, Halim Othman, enggan mengulas mengenai pendedahan anaknya yang juga pelakon, Myra Natasya Abdullah, yang mendakwa dirinya sebagai anak tidak sah taraf.
Pengacara itu tidak memberikan kenyataan panjang ketika disoal tentang perkara berkenaan, baru-baru ini
“Tiada komen,” jawabnya ringkas.
Terdahulu, Myra mengeluarkan kenyataan kononnya Halim dan ibunya pernah berkahwin dan bercerai di Thailand. Penjelasan tersebut dikeluarkannya selepas statusnya yang berbintikan Abdullah seperti tertera dalam sijil kelahirannya, dipersoal ramai orang.
Terbaru, Myra mencetuskan kekecohan selepas mengeluarkan kenyataan bercanggah, mendakwa pula ibu bapanya tidak pernah berkahwin di Thailand pada tahun 1994 seperti dilaporkan sebelum ini selain menegaskan dia tidak boleh berwalikan Halim kerana berbintikan Abdullah.
Finalis program Dewi Remaja 2019 itu turut mempersoalkan tindakan Halim yang dakwanya telah mengubah dan mendaftarkan sijil kelahiran baru untuknya.
“Saya tidak perlu meminta keizinan kamu untuk melakukannya, tanpa benih saya awak tidak wujud. Bersyukurlah,” jawab Halim dalam mesej yang didedahkan Myra sebelum ini.
Kecewa dengan respons tersebut, Myra bertindak menyindir Halim di Instagram.
“Tugas bapa adalah melindungi anaknya daripada dilukai mana-mana pihak, termasuklah diri mereka sendiri,” luahnya.










