KUALA SELANGOR: Henti tugas yang akan dilakukan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada minggu depan bakal melibatkan kerja-kerja penggantian tiga komponen di bahagian Pam Air Terawat Matang Pagar dan Rumah Pam Air Terawat Matang Pagar.
Tiga komponen tersebut adalah injap butterfly bersaiz 1,450 milimeter (mm), injap shice bersaiz 1,350mm dan dua jenis switchgear yang dikenalpasti perlu diganti untuk mengelakkan daripada impak lebih buruk.
Alat ganti tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem pam di LRA SSP1 yang sudah beroperasi lebih 30 tahun.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, penggantian tersebut melibatkan kos kira-kira RM0.5 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat operator iaitu Sungai Harmoni Sdn Bhd.
Menurutnya, kerja-kerja penggantian tersebut perlu dilakukan sejak suku pertama tahun ini namun terpaksa ditangguhkan untuk mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain keperluan penggunaan pada musim perayaan.
“Penyelenggaraan atau penggantian dilakukan adalah kali pertama sejak SSP1 beroperasi dan ia merupakan penyelenggaraan major (besar) dan memerlukan henti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan berikutan rizab atau marjin simpanan air berada pada tahap 21 peratus.
“Perlu kita laksanakan. Kita memang menghadapi banyak kekangan sebelum ini walaupun keadaan bertambah baik dari segi rizab air, insya-Allah kita akan terus perbaiki dengan projek-projek baharu dan juga ketirisan air terawat (NRW),” katanya dalam sidang akhar, sempena lawatan ke tapak LRA SSP1, hari ini.
Terdahulu, syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dilapor memaklumkan gangguan bekalan air berjadual pada 5 hingga 7 Jun depan berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di LRA SSP1.
Kerja-kerja tersebut memberi kesan gangguan bekalan kepada 664 kawasan, antara terbanyak terkesan seperti Kuala Selangor (175 kawasan), Gombak (150) dan Petaling (149), sementara paling kurang adalah Shah Alam yang cuma melibatkan 12 kawasan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan gangguan berjadual itu adalah kali kedua melibatkan kira-kira tiga juta pengguna selepas kali pertama berlaku pada Oktober 2021.
Dalam pada itu, Izham menyatakan kerajaan negeri dan Air Selangor berusaha meminimumkan gangguan bekalan akibat daripada kerja-kerja penyelenggaraan LRA.
“Tetapi kalau kita fikir-fikir, sedangkan LRA SSP1 membekalkan hampir 67 peratus bekalan air. Sebab itu kita bina LRA Sungai Rasau, baru kita dapat seimbangkan, kalau berlaku penutupan, kita boleh alihkan ke tempat lain. Jadi tak adalah air ditutup.
“Tetapi, insya-Allah sebagaimana saya sebut tadi, kita akan percepatkan projek kita di Sungai Rasau Fasa 1 dan 2. Fasa 2 pun kita awalkan, tahun depan kita mulakan supaya kita dapat rizab margin air yang lebih tinggi untuk memudahkan kita membuat penyelenggaraan,” jelasnya.
Katanya lagi, selepas SSP1, penyelenggaraan besar seterusnya akan dilakukan di LRA Rantau Panjang dan Sungai Semenyih pada tahun ini dan menggunakan bekalan dari LRA Langat 2 bagi mengurangkan impak gangguan. – UTUSAN










