KOTA KINABALU: Pembentukan gagasan atau gabungan baharu yang dianggotai oleh UMNO, Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mungkin akan direalisasikan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Itu bayangan yang diberikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau berkata, nama gabungan baharu itu belum diputuskan namun, apa yang pasti akan ada gabungan baharu kerana menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, berdasarkan situasi semasa, tiada mana-mana parti yang boleh bergerak secara solo kerana itulah realiti sekarang.
“Rakyat sudah tidak boleh menerima parti tunggal kerana pengundi-pengundi muda melihat bagaimana parti-parti di Sabah ini memerintah dahulu.
“Mengikut keadaan politik semasa, rakyat tidak mahukan parti tunggal termasuk Sabah sebab kita sudah lalui pilihan raya demi pilihan raya.
“Maka, kita kena ada satu gagasan atau gabungan baharu,” katanya selepas penyampaian watikah pelantikan pengerusi Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM), di sini hari ini. – UTUSAN










