PETALING JAYA: Pelajar dan ibu bapa dinasihatkan mengenali profesion perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang terbabit.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, mereka perlu sedar tentang cabaran dan komitmen yang terlibat dalam sektor kesihatan.
Katanya, kerjaya dalam bidang perubatan boleh memberikan kepuasan namun ia bukan untuk semua orang.
“Perubatan juga adalah salah satu kursus paling mahal dan paling lama untuk diselesaikan. Kos belajar perubatan berjumlah antara RM250,000 hingga RM650,000 bergantung kepada universiti dan mengambil masa sekitar lima tahun untuk dihabiskan.
“Setelah menamatkan pengajian, graduan perubatan dikehendaki menjalani latihan klinikal (HO) dalam sistem penjagaan kesihatan awam. Di peringkat ini, pelajar perubatan paling cemerlang pun tercicir kerana tuntutan kerja.
“Ramai mendapati diri mereka berada di hujung jalan kerana jangkaan mereka tidak sepadan dengan realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Dr. Azizan berkata, pelajar yang menganggap perubatan sebagai kerjaya perlu cakna dengan sistem kontrak dan bersedia berkhidmat di mana-mana kemudahan penjagaan kesihatan sebagai sebahagian daripada latihan mereka.
“Pelajar juga mesti sedar bahawa dalam profesion perubatan, keperluan pesakit diutamakan,” katanya. –UTUSAN










