LUMUT: Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menjadi ‘showcase’ terhadap kesediaan Malaysia untuk menyediakan ekosistem terbaik bagi industri berasaskan AI.
Itu adalah penekanan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menunjukkan tahap kemampuan negara ini untuk merangka dan membina sistem yang kondusif bagi pembangunan dan perkembangan bidang tersebut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, fakulti yang akan dirasmikan Perdana Menteri pada 10 Mei itu juga diharap dapat menjadi mercu tanda baharu dalam pembinaan landskap AI bukan hanya dalam bidang ekonomi tetapi juga pelbagai aspek lain dalam negara.
“Ia akan turut melibatkan ‘showcase’ syarikat gergasi antarabangsa yang hadir pada majlis perasmian itu sebagai pempamer bagi menunjukkan bagaimana mereka menjadi sebahagian ekosistem AI dalam negara.
“Sebanyak 45 ruang pempamer disediakan pada majlis tersebut,” katanya pada sidang media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini semalam.
Menurutnya, KPT menjadi perintis bagi program tersebut yang dilakukan dalam tempoh tiga bulan untuk melaksanakannya sebelum disusuli tindakan oleh Kementerian Digital; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Jelasnya, AI akan menjadi asas dalam bidang teknologi masa kini dan akan datang termasuk dalam bidang elektrik dan elektronik yang menyaksikan negara memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 tenaga mahir dalam tempoh terdekat untuk memenuhi keperluan industri.
Terangnya, keperluan tenaga mahir dalam bidang tersebut dijangka terus meningkat sehingga 45,000 orang dalam tempoh lima tahun ini yang memerlukan mereka memiliki keupayaan dalam bidang AI.
Bagaimanapun, maklumnya, bilangan itu tidak mutlak kerana kemungkinan berlaku peningkatan lagi berdasarkan situasi pelaburan semasa.
“Sekarang, hampir setiap bulan pelaburan langsung asing (FDI) terus masuk ke Malaysia kerana negara ini dianggap sebagai sangat berpotensi kerana ekosistem pelaburan menarik, infrastruktur baik dan kestabilan politiknya,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan, Malaysia perlu bergerak pantas selari dengan perubahan teknologi dunia kerana dijangka semua bidang akan melibatkan AI dalam tempoh lima tahun mendatang.
Sebelum ini, Zambry dilaporkan berkata sebagai permulaan, program Ijazah Sarjana Muda AI telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) pada Januari lepas dan pelajar kohort pertama program itu akan memulakan pengajian Oktober ini.
Beliau berkata pembangunan dan kokurikulum AI telah dikenal pasti menepati keperluan industri, melibatkan pakar-pakar bidang AI serta seiring dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 yang dirangka oleh MOSTI. – UTUSAN










