SHAH ALAM: Pemain bola sepak kebangsaa, Faisal Abdul Halim dilaporkan selesai menjalani pembedahan ketiga dekat Hospital Aviscena, di sini, kelmarin.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pembedahan tersebut menerusi kaedah skin allograft iaitu pemindahan kulit sihat ke kawasan yang mengalami kelecuran.
“Alhamdulillah, Faisal selamat menjalani pembedahan ketiga tempoh hari (kelmarin) menerusi kaedah skin allograft iaitu pemindahan kulit sihat ke kawasan tubuh yang mengalami kelecuran.
“Faisal masih lagi ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan berada dalam keadaan stabil namun tempoh dua minggu mendatang ini sangat penting dan kritikal memandangkan prosedur skin allograft ini memerlukan Faisal diasingkan dengan pemantauan rapi dan ketat oleh pasukan perubatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, buat masa ini, Faisal tidak akan menerima pelawat dalam tempoh dua minggu disebabkan prosedur tersebut yang dilaluinya bagi mengelak daripada dijangkiti kuman atau komplikasi penyakit ketika menjalani tempoh prosedur itu.
Bagaimanapun, Najwan menambah Faisal dilihat semakin bersemangat mengharungi prosedur itu walaupun ia mengambil masa yang lama kerana mahu cepat sembuh.
Dalam pada itu, Najwan berharap seluruh rakyat Malaysia untuk tidak putus berdoa kepada pemain bola sepak Selangor FC, supaya dia cepat sembuh dan dapat kembali mewarnai kancah bola sepak negara.
Utusan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan Faisal disimbah asid sulfurik oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Selangor.
Difahamkan semasa kejadian, pemain bahagian sayap kanan pasukan kebangsaan sedang mengambil keretanya di tempat parkir kereta pusat itu sebelum disimbah cecair berkenaan. – UTUSAN










