Enam MP Bersatu diberi tempoh 14 hari untuk jawab - Hamzah

Enam MP Bersatu diberi tempoh 14 hari untuk jawab – Hamzah

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kepada semua ahli parlimen Bersatu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokong kepada kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, surat tersebut yang  dihantar kepada enam MP Bersatu itu perlu dihantar semula bagi menyemak arahan yang diminta untuk dilakukan oleh parti.

“Tindakan yang kita ambil ini mengikut perlembagaan parti, bahawa kita perlu mengambil beberapa langkah tertentu dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menentukan segala arahan boleh dikeluarkan selepas mereka menerima aduan kesalahan tertentu.

“Kemudian, kita memastikan surat arahan itu diterima oleh mereka dan dikembalikan kepada kita (parti) mengikut arahan yang tercatat di dalam surat itu.

“Surat telah dihantar melalui e-mel, kurier, dan melalui tangan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu, hari ini.

Terdahulu, Bersatu memberitahu akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat tetapi ditangguhkan untuk parti itu memberikan fokus pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Selain itu, Hamzah berkata, arahan khusus atau tambahan kepada enam MP Bersatu  perlu dijawab dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

“Maka dengan itu, mereka perlu mematuhinya dan arahan kepimpinan dan Ketua Whip serta memastikan untuk tidak menyokong kerajaan dalam apa jua cara.

“Walaubagaimanapun, khusus kepada enam ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan, terdapat beberapa arahan tambahan yang diberikan untuk tindakan selanjutnya

“Adalah diingatkan untuk ahli tersebut mengakui menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh 14 hari dalam arahan tersebut dan kegagalan untuk berbuat demikian menyebabkan keahlian mereka terhenti dan dengan serta-merta menurut Fasal 10 (4),” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, arahan yang diberikan adalah supaya ahli parti tahu bahawa mereka mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Bersatu.

“Tanggungjawab adalah untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar dan matlamat parti khususnya yang termaktub di bawah Fasal 9 1.

“Mereka juga perlu mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu telah membuat ketetapan untuk tidak menyokong kerajaan serta mana-mana Menteri Besar atau kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN