Duet kolaborasi dua negara medan penyatuan muzik - Utusan Malaysia

Duet kolaborasi dua negara medan penyatuan muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia atau di mana-mana sahaja negara, projek penerbitan album secara duet menerusi kolaborasi dua negara, masih bergerak dalam skala yang sangat kecil.

Berbeza dengan penghasilan lagu dalam format single, ia lebih mudah menggandingkan penyanyi yang berbeza kerakyatan, dengan hanya memfokuskan satu produk untuk dipasarkan di kedua-dua negara, secara serentak atau bergiliran.

Buktinya, beberapa lagu hits seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan (Seluruh Cinta), Siti Nurhaliza dan Judika (Kisah Ku Inginkan), Keisya Levronka dan Nabila Razali (Tak Ingin Usai), Rossa dan Hafiz Suip (Salahkah), Asmara Nirmala dan Ezad Exist (Dua Insan) antara karya yang masih diperdengar hingga hari ini.

Sesetengah syarikat rakaman hanya menerbitkan album solo dengan menampilkan penyanyi lain dalam salah satu trek lagu, atau menggandingkan penyanyi di bawah naungan yang sama untuk disatukan dalam satu pakej.

Contohnya, syarikat rakaman Suria Records (SRC) yang menerbitkan album Seri Balas (1999) untuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris; Firus (2001) Siti Nordiana dan Syura; Istimewa Untukmu (2003) dan Benang Emas (2006) oleh Siti Nordiana dan Allahyarham Achik Spin di bawah FMC Music.

Bagaimanapun, berbeza situasi dengan penerbitan album duet menyaksikan strategi gandingan ini masih bergerak terlalu perlahan.

Mungkin kerana sasaran jualan dan pendengar berbeza, iltizam syarikat-syarikat rakaman dan pengurusan artis atau pun kos, dalam keadaan perniagaan album masih berada dalam keadaan tidak menentu.

Ada pula yang bertanya, berbaloikah menerbitkan album duet seperti ini? Seberapa besar pulangan pelaburannya kepada syarikat rakaman, penyanyi atau pendengar?

Bagi saya, ia lebih daripada itu jika label muzik meletakkan strategi di tempat yang betul.

Makna kata, sebagai penyanyi, suaranya mestilah boleh dikomersial lebih meluas didorong oleh penerbit, komposer dan penulis yang berkaliber, supaya hasrat itu menjadi realiti.

Ya, kita ramai penyanyi berbakat dan berpengaruh besar, namun, selain Siti Nurhaliza, siapa sahaja penyanyi kita mempunyai pakej seperti itu?

Walaupun Malaysia tidak begitu aktif menerbitkan album duet merentas rantau dan benua, tetapi ada sebilangan kecil naskhah yang walaupun mungkin belum boleh dijadikan sebagai penanda aras kualiti muzik sebenar, namun ada yang kita boleh banggakan seperti album pop CTKD (Canda, Tangis, Ketawa, Duka) oleh Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti pada 2009.

Album yang memuatkan enam lagu ciptaan penggubah dan penulis dari Malaysia dan Indonesia ini, bagi saya hadir sebagai album komersial terbaik yang dihasilkan ketika itu.

Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti mencapai satu titik temu bagi keberhasilan album dengan mengetengahkan genre pop dan balada, sekali gus menyatukan pendengar daripada kedua-dua negara.

Malangnya, hanya dua lagu dalam album ini dipasarkan sebagai single iaitu Amarah dan Jika Kau Tak Datang, yang kedua-duanya bergerak dalam rentak lebih upbeat dan rapat.

Sedangkan, lagu-lagu lain seperti Hanya Dia, Sebagai Teman dan Tanpamu juga berpotensi menjadi pembentuk trend lagu-lagu galau yang beredar ketika itu.

Penghasilan album duet dua negara sebenarnya bermula lebih lama dahulu lagi sebelum muzik pop berkembang seiring peredaran masa.

Ramlah Ram, pada 1996 sudah merakamkan album duet dangdut dan menggabungkan elemen irama Malaysia bersama penyanyi Indonesia, Nelly Agustin berjudul Cinta Di Musim Dangdut.

Saya sejujurnya tidak mengikuti perjalanan album itu secara langsung dan tidak pasti jika terdapat mana-mana daripada 10 trek lagunya kekal menjadi ingatan, melainkan Aduh Du Sayang yang dikeluarkan sebagai single.

Apa pun yang berlaku sepanjang penerbitan album itu, Cinta Di Musim Dangdut boleh dikatakan sebagai satu lagi ‘khazanah sejarah’ muzik Malaysia.

Mungkin, dalam konteks muzik negara ini, bekerjasama dengan pemuzik dan penyanyi dari Indonesia sudah menjadi satu kebiasaan atas persamaan bahasa dan mudah difahami.

Maka, penyesuaian terhadap lagu-lagu yang diasimilasi itu lebih lancar. Tetapi, bagaimana pula dengan arah tuju muzik yang benarbenar keluar daripada kebiasaan, pemahaman bahasa, budaya dan persekitaran?

Dalam sejarah muzik Malaysia, hanya ada satu penyanyi tempatan yang tembus dalam pasaran muzik di Filipina iaitu Min Yasmin.

Atas dukungan dan dorongan komposer Julfekar, tindakan berani itu menjadikan Min Yasmin sebagai penyanyi antarabangsa dan multi bahasa, bermula dengan album duet Tagalog bersama penyanyi republik itu, Nikki Bacolod berjudul 2 Voices (2015).

Mungkin, Min Yasmin bukan siapa-siapa dalam industri muzik Malaysia , tetapi dia adalah wanita versi berbeza di Manila atau selatan Filipina seperti Zamboanga, Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi. 2 Voices yang memuatkan 11 lagu diterajui single Sa Iyo, menjadikan lagu ini mengungguli beberapa carta radio di Filipina selama berbulan-bulan, sehinggalah Min Yasmin tampil dengan beberapa album solo untuk pasaran negara itu.

Di sebalik penerbitan album duet seperti ini yang masih kurang mendapat sambutan, masih banyak yang perlu diterokai industri dalam mempelbagai produk muzik, sebagai kelangsungan dan kayu pengukur ke mana hala tuju kita mendepani cabaran yang mendatang.

Saya percaya, kerjasama seperti ini bukan sahaja mempelbagai kreativiti bermuzik dan menghidupkan industri di era digital, malah, ia menyatukan pendengar dari segenap sempadan atas landasan seni yang dikongsi bersama.

Jika ada sedikit ruang dan peluang untuk penyanyi Malaysia berkongsi dan mengembangkan bakat dengan pemain industri dari negara luar, maka ia harus digunakan sebaik mungkin.

Sampai bila label muzik dan penyanyi kita tampil dengan single demi single? Sampai bila penyanyi kita menyanyikan lagulagu saduran? Bilakah waktunya muzik Malaysia mendominasi pasaran muzik Indonesia?

Apa pun, sekiranya hala tuju penerbitan album seperti ini tidak mendapat sambutan, Malaysia seharusnya lebih produktif mencipta bintang baharu yang setanding Mahalini, Stevan Pasaribu, Anggi Marito, Lyodra, Ziva Magnolya dan Tiara Andini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya