JOHOR BAHRU: Dua daripada tujuh suspek yang ditahan berkaitan serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu dibebaskan tanpa syarat.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dua individu itu merupakan penuntut institusi pengajian tinggi yang berusia 21 dan 22 tahun.
“Dua individu yang ditahan pada 17 Mei lalu bagi membantu siasatan melibatkan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu telah dibebaskan semalam setelah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.
“Walau bagaimanapun, siasatan terhadap lima lagi suspek yang kesemuanya merupakan ahli keluarga suspek masih diteruskan memandang tempoh reman hanya akan tamat pada 24 Mei,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen dalam media sosial yang boleh menggugat ketenteraman dan mengganggu siasatan polis.
Jumaat lalu, dua anggota polis maut selepas Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang turut merampas senjata api daripada anggota polis yang ditetaknya.
Serangan itu turut mencederakan seorang lagi anggota polis dan suspek turut berjaya ditembak mati.
Susulan itu, polis menahan seramai tujuh individu termasuk bapa suspek penyerang dan mereka dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. – UTUSAN