SEPANG: Sikap jemaah haji negara ini yang cukup berdisiplin dan mematuhi peraturan Arab Saudi antara rahsia skim Makkah Route terus dikekalkan lagi di Malaysia tahun ini.
Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dalam sidang akhbar peluncuran inisiatif tersebut, di sini malam tadi.
“Ini bukan sahaja pengiktirafan kepada Lembaga Tabung Haji (TH), malah keyakinan oleh negara itu kepada aspek disiplin tinggi jemaah kita juga menjadi penyumbang,” katanya.
Makkah Route mula diperkenalkan pada 2017 dengan Malaysia menjadi negara pertama skim praperlepasan imigresen Arab Saudi itu sebelum dilaksanakan di enam negara lain.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pengekalan Malaysia yang terus dipilih oleh negara tuan rumah ibadah tersebut juga membuktikan kepercayaan tinggi kecekapan pihak TH.
“Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana tanpa hak keistimewaan diberikan itu, bakal jemaah kita perlu beratur di sana amat lama,” jelasnya.
Menerusi Makkah Route bakal jemaah melalui praperlepasan lebih awal di KLIA sebelum terbang ke tanah suci dan sebaik mendarat di sana, mereka terus dibawa menaiki bas menuju ke hotel penginapan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar jemaah Malaysia konsisten mengekalkan tahap disiplin sepanjang berada di tanah suci dan mematuhi peraturan ditetapkan Arab Saudi,” katanya. – UTUSAN











