Dirogol sejak 12 tahun: JKM sediakan khidmat psikologi

Dirogol sejak 12 tahun: JKM sediakan khidmat psikologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan menyediakan perkhid­matan sokongan psikologi dan kaunseling terhadap seorang wanita yang menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sejak berusia 12 tahun dalam kejadian di Kampung Chuah, Port Dickson di sini.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, soko­ngan psikologi dan kaunseling itu akan diberikan kepada mangsa berusia 20 tahun itu berdasarkan keperluan bagi memulihkan trauma dihadapinya akibat dirogol selama lapan tahun.

“Kes (mangsa) tinggal dengan ibu saudara buat masa sekarang. Akan dijalankan semakan lanjut (keperluan dan perlindungan) berhubung keadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Rosnah, pihak JKM juga masih menyemak status anak mangsa yang dilahirkan hasil hubungan haram tersebut.

“Masih dalam semakan pihak kami lagi (status anak),” katanya.

Semalam media melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun dirogol bapa kandung sejak berusia 12 tahun sehingga melahirkan dua orang anak.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis pada 1 Mei lalu.

Difahamkan seorang anak mangsa meninggal dunia semasa lahir manakala seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun didakwa telah diserahkan kepada individu lain yang masih belum dikenal pasti.

Kejadian itu pernah diceritakan kepada ibu mangsa, namun tidak diendahkan walaupun dia telah melahirkan anak.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sejak tahun 2016 ketika mangsa berusia 12 tahun sehinggalah kejadian terbaru pada tahun ini di dalam bilik rumah mereka di Kampung Chuah, Port Dickson.

Aidi Sham berkata, susulan kejadian itu ibu bapa mangsa berusia 40-an telah ditahan kira-kira 11.40 pagi Jumaat lalu pagi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, ibu bapa mang­sa mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah dan kedua-dua mereka direman lima hari bermula Sabtu lalu sehingga 8 Mei ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan ke­rana melakukan sumbang mah­ram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN