'Demokrasi ketika zaman PN adalah paling gelap'

‘Demokrasi ketika zaman PN adalah paling gelap’

FAHMI Fadzil (tengah) ketika sidang akhbar di reruai Kementerian Komunikasi sempena Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan diingatkan supaya lebih sedar bahawa zaman paling ‘gelap’ bagi demokrasi di Malaysia adalah ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hal ini demikian kerana, pada zaman Muhyiddin, pernah berlaku peristiwa Parlimen ditutup dan fakta tersebut perlu diingati dengan baik oleh Wan Saiful.

“Fikirkan tentang apa yang berlaku pada zaman PN. Parlimen ditutup ini bukan orang kata propaganda, ini adalah fakta. Parlimen ditutup, bukan surat khabar (ditutup) tetapi Parlimen itu sendiri ditutup.

“Jadi, saya rasa sebelum Wan Saiful bercakap lebih, beliau seharusnya insaf bahawa zaman paling ‘gelap’ demokrasi di Malaysia antara lain adalah ketika zaman Muhyiddin,” katanya selepas melawat reruai Kementerian Komunikasi sempena Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini, hari ini.

Wan Saiful sebelum ini menyalahkan Fahmi atas kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar bagi tahun ini dan membandingkan kedudukan tersebut iaitu di tangga ke-107 yang dianggap lebih teruk berbanding Israel yang menduduki ranking ke-101.

Kata Ketua Portfolio Komunikasi Perikatan Nasional (PN) itu juga, kemerosotan tersebut membuktikan bahawa kerajaan bersifat ‘kuku besi’ serta janji kerajaan mengenai kebebasan media sebelum ini adalah palsu belaka.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR memberitahu, adalah sesuatu yang mengelirukan apabila Wan Saiful cuba membandingkan kedudukan kebebasan media di Malaysia dengan Israel.

“Israel bunuh orang di Gaza. Jadi, kenapa perlu bandingkan Malaysia dengan Israel.

“Wan Saiful kata kita ini lebih teruk daripada Israel, tapi, kita tidak ada bunuh sesiapa. Setakat ini, tidak ada seorang pun wartawan telah ditangkap atau dihumban ke dalam penjara dan tidak ada satu akhbar pun yang ditutup,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×