Cliff Umar mengaku salah miliki heroin - Utusan Malaysia

Cliff Umar mengaku salah miliki heroin

Heroin
CLIFF Umar dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Juara program realiti TV, Gegar Vaganza Musim Ke-7 (GV7), Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana memiliki dadah jenis heroin pada Ahad lalu.

Tertuduh atau nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 0.39 gram dekat tepi jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya kira-kira pukul 3.30 petang pada 26 Mei lalu.

Oleh demikian, penyanyi itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika, sabit kesalahan, Cliff Umar boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Sementara itu, peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah.

“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dan pendapatan tidak menentu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN