CAP mahu isu pemandu letak kereta sesuka hati ditangani segera

CAP mahu isu pemandu letak kereta sesuka hati ditangani segera

CAP menganggap perbuatan meletak kereta sesuka hati atau meletakkan objek seperti tong besar untuk menghalang kenderaan daripada diparkir memburukkan lagi masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan polis untuk menangani isu pemandu yang meletakkan kereta di zon larangan letak serta di lokasi sembarangan di pusat bandar sehingga menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan di beberapa jalan utama di negeri ini seperti di Jalan Utama, Jalan Residensi, Jalan Logan, Jalan Penang, Jalan Pasar, Lebuh Penang, Lebuh Pantai dan beberapa kawasan di Air Itam mendapati, trend pengguna jalan raya meletak kenderaan tanpa mengambil kira keperluan pengguna jalan raya yang lain memang wujud.

Beliau berkata, tindakan seperti itu jelas boleh menimbulkan bahaya dan kesulitan kepada semua pihak terutamanya yang menggunakan jalan berkenaan.

“Situasi ini telah meningkat ke tahap kronik terutamanya di Jalan Residensi (berhampiran Hospital Besar Pulau Pinang) apabila pemilik kereta sering meletakkan kereta mereka di sepanjang jalan di situ walaupun terdapat garisan kuning berkembar.

“Selain itu, CAP juga telah mengenal pasti beberapa kawasan tempat letak kereta awam di mana terdapat tong besar, kerusi plastik, pasu bunga atau barangan lain yang sengaja diletakkan bertujuan menghalang kenderaan daripada diparkir di situ,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohideen, pada masa yang sama, terdapat juga kenderaan yang menceroboh kawasan kaki lima serta perhentian bas dan keadaan ini secara tidak langsung memburukkan lagi masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

“Kekurangan tempat letak kereta, kebanyakannya di kawasan pusat bandar telah menyebabkan wujudnya tempat letak kereta haram dan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan ini (pusat bandar),”katanya.

Dalam pada itu, Mohideen berkata, bagi mengatasi masalah itu, CAP mencadangkan agar pihak berkuasa mengehadkan masa parkir di tempat letak kereta awam supaya mereka yang menggunakan ruang sepanjang hari dihalang daripada berbuat demikian.

“CAP menggesa MBPP dan polis mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melanggar peraturan parkir dan meletak kenderaan sembarangan.

“Langkah segera dan tegas adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kemudahan semua pengguna jalan raya di Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN