Calon perlu kuasai 28 peratus pengundi Cina, India untuk menang

Calon perlu kuasai 28 peratus pengundi Cina, India untuk menang

Pang Sock Tao beramah mesra dengan penduduk Orang Asli di Kampung Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Baharu, semalam. – UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Calon yang dapat menguasai sekurang-kurangnya 28 peratus pengundi kaum Cina dan India serta kaum minoriti seperti Orang Asli di samping penguasaan kelompok majoriti berpotensi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, penguasaan pengundi itu adalah ‘resipi asas’ selain kempen berterusan sehingga hari mengundi.

“Kaum majoriti Melayu dan bumiputera adalah seramai 51 peratus dan itu tidak cukup jika bergantung kepada kelompok tersebut semata-mata. Mesti berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi kaum lain termasuk Orang Asli.

“Dalam masa sama, parti-parti juga perlu berhati-hati kerana pada pemerhatian saya di Selangor secara keseluruhan, pengundi melihat calon, tidak melihat parti. Kuala Kubu Baharu tidak terkecuali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini dalam analisisnya menyatakan PRK pada 11 Mei ini dibayangi persaingan sengit empat penjuru terutama pertembungan antara calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dan Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Sock Tao, selain berdepan calon Khairul Azhari yang juga calon tempatan turut memikul tugas untuk memikat dan memujuk pengundi Melayu dan bumiputera di Kuala Kubu Baharu yang kumpulan tersebut mewakili kira-kira 50 peratus daripada 40,226 jumlah pengundi.

Khairul Azhari pula dijangka memberi tentangan yang hebat kepada Sock Tao berban­ding dua calon lain iaitu Nyau Ke Xin yang merupakan calon Bebas dan Hafizah Zainudin pula daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Pakatan Harapan (P) sepatutnya tidak sewenang-wenang menggunakan aset kerajaan untuk berkempen dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, PH sepatutnya ‘lebih serupa bikin’ apabila sebelum ini kerap mengkritik kerajaan (Barisan Nasional) menggunakan aset-aset kerajaan untuk berkempen dalam mana-mana pilihan raya.

“Apabila mereka jadi kerajaan, mereka pula buat perkara yang sama, mana perubahannya? Dahulu sorak hendak laksanakan reformasi, jadi mereka tidak sewajarnya lakukan perkara tersebut,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×