KUANTAN: Niat menyertai parti politik untuk mengejar pangkat dan pengaruh seharusnya tidak ada lagi dalam pemikiran setiap ahli UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemikiran sedemikian boleh memudaratkan dan menyebabkan parti hilang pengaruh.
Menurutnya, semua yang menyertai UMNO seharusnya ikhlas dalam memperjuangkan dasar parti tersebut.
“Kita masuk parti, menjadi ahli UMNO dan kita bersama dalam organisasi untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara, bukan tujuan kita masuk parti untuk tujuan bermegah atau semata-mata hendak pegang jawatan.
“Bila kita tidak dipilih, kita akan berasa kecewa tetapi kalau kita masuk parti kerana perjuangan, tidak mengapa siapa menjadi calon pun, kita kerja macam itu juga (bekerja ikhlas).
“Ini kita harus terapkan dalam kalangan ahli UMNO. Sekiranya ini berjaya, UMNO akan kembali kuat, saya rasa lebih kuat daripada sebelum ini, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO Ke-78 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini, semalam.
Tambah Wan Rosdy, setiap akar umbi juga perlu bersatu, bangkit dan kembali kuat demi meraih majoriti mudah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, kekuatan parti adalah kunci kepada pengaruh dan penghormatan dalam politik, dan UMNO perlu menjadi kuat untuk terus dihormati dan disegani oleh semua pihak.
“Kita ini kuat tapi kita ada masalah dalaman. Masalah dalaman ini kalau tidak dibendung boleh menjatuhkan organisasi. Umpama membunuh sesama sendiri, itu tidak fokus. Fokus kita untuk membantu rakyat. Jangan ada perkara begitu di Pahang. Kalau nak bangkit nak kuat semula kena hilangkan kepentingan diri, kena jadi orang parti.
“Sesiapa pun dipilih menjadi calon, semua ahli mesti menyokong walaupun rasa kita layak. Ini kerana pucuk pimpinan ada kriteria-kriteria tertentu yang menyebabkan seseorang itu dipilih,” ujarnya. – UTUSAN










